Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
KUALA NERUS, 14 Oktober – Seorang Ibu Tunggal di Kampung Kubur Timah, Maimun Yunus tidak dapat menahan sebak apabila Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menyampaikan bantuan keperluan asas beserta wang tunai kepada keluarganya.
Maimun, 61, berkata setelah kehilangan suami akibat kanser paru-paru pada tahun lepas, ditambah lagi dengan kehilangan kakinya akibat kencing manis, ujian itu menyukarkan dirinya mencari nafkah buat keluarga.
“Nak bergerak pun susah, anak-anak kena dukung naik motosikal, duit untuk baiki kereta pun tidak mampu. Keluarga kami bergantung kepada pekerjaan anak dan bantuan-bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubur Timah.
“Mak cik nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada kumpulan EPIC, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, MPKK Kampung Kubur Timah dan ramai lagi. Dengan bantuan sebegini, boleh mak cik buat makan untuk anak-anak dan cucu-cucu yang ramai,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemubual pemberita di rumahnya hari ini dalam program EPIC Cakna dan Prihatin 2020 di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Saabi Wahab berkata, program sesi kelima tersebut bertujuan untuk membantu dan mengurangkan beban golongan yang kurang berkemampuan.
“Untuk hari ini, pihak kami telah menyampaikan bantuan katil hospital tiga fungsi kepada seorang penghidap diabetes di Tok Jembal diikuti bantuan keperluan asas serta wang sagu hati kepada Puan Maimun dan keluarga.
“Kami sentiasa mengambil berat tentang mereka yang kurang bernasib baik di dalam negeri. Program dalam masa terdekat akan melibatkan 3 hingga 4 kawasan, seperti di Ajil pada pagi esok tetapi ditangguhkan atas sebab pandemik COVID-19,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman bersama pihak MPKK turut datang melawat dan mengambil cakna tentang keadaan keluarga Maimun.
“Pihak MPKK dan DUN Batu Rakit menganggap mereka seperti keluarga angkat kerana sering melawat dan memberi bantuan keperluan harian dan dapur pada tiap-tiap musim,” katanya.