Malaysia Border Trade Fair di Songkhla Platform Usahawan Terengganu Berkembang

SONGKHLA, 15 Ogos - Songkhla Thailand - Malaysia Border Trade Fair 2024 yang berlangsung di Siang Tung Park, Hat Yai, Thailand memberi peluang yang baik kepada usahawan dari Thailand dan Malaysia untuk mempamer dan mempromosi produk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman, berkata kehadirannya mewakili kerjaan negeri Terengganu ke festival yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Thailand, sebagai tanda sokongan pihaknya terhadap kerjasama perdangangan antara Thailand dan Malaysia. 

"Tujuan utama  hadir di acara ini mestilah untuk memberi galakan dan sokongan kepada usahawan Terengganu yang mengambil bahagian dalam pesta perdagangan dua negara ini yang menjadi platform untuk melihat secara dekat produk-produk inovatif dan berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh usahawan Terengganu.

"Sekaligus mempromosikan potensi perniagaan mereka di pasaran antarabangsa.

"Kerajaan Negeri Terengganu sangat menggalakkan dan memberikan sokongan penuh kepada para usahawan Terengganu yang berusaha untuk menembusi pasaran luar negara bagi memasarkan produk mereka,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa menghadiri program terbabit, di sini, baru-baru ini. 

Mengulas lebih lanjut katanya, setiap produk usahawan Terengganu mempunyai keistimewaan tersendiri dan berpotensi untuk dipasarkan di luar negara di samping usaha gigih daripada mereka sendiri untuk lebih kreatif dalam memasarkan produk mereka juga wajar dipuji.

"Kita berharap agar dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk usahawan kita mempromosikan produk-produk mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita juga berharap lebih ramai usahawan Terengganu dapat menyertai acara yang diadakan di luar negara seperti ini bagi meneroka dan meluaskan pasaran produk masing-masing bukan sahaja di rantau Asia malah di seluruh dunia," katanya. 

Ujarnya lagi, Kerajaan Negeri Terengganu dan agensi-agensi keusahawanan akan terus menyokong dan membantu para usahawan Terengganu untuk mencapai kejayaan di peringkat global.


Tag: