Malaysia Festival 2017 Sydney Promosi Terengganu Di Benua Australia

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mukhtar memotong riben ketika merasmikan Malaysia Festival 2017 Sydney yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Malaysia Festival 2017 Sydney berjaya mempromosikan Terengganu bukan sahaja kepada penduduk tempatan di Sydney malah di seluruh Australia dan New Zealand.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, festival yang dianjurkan oleh gabungan pelajar-pelajar Malaysia di Sydney berjaya menarik ramai pengunjung ke acara tahunan tersebut dengan persembahanan budaya yang terdapat di Malaysia.

"Pertunjukan budaya serta muzik-muzik tradisional yang dimainkan di sini membuatkan penduduk tempatan tertarik untuk hadir dan secara langsung memperkenalkan Malaysia khususnya Negeri Terengganu.

"Pertunjukan tradisional Terengganu seperti Ulik Mayang turut dipersembahkan dan apa yang kita dapat lihat, pengunjung asing amat berminat dengan persembahan tersebut terutamanya muzik yang dimainkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Malaysia Festival 2017 Sydney di Sydney, hari ini.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pelancongan), Wan Mohd Firdaus Wan Sembok dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Festival 2017 Sydney, Ivan Khor.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Malaysia Festival 2017 Sydney, Hsiang Lin Tan berkata, acara tahunan yang diadakan pada kali ini bakal berlangsung dua hari, berbeza dengan tahun-tahun yang sebelumnya apabila hanya dianjurkan sehari.

"Tahun ini kita mensasarkan seramai 70,000 pengunjung akan hadir sepanjang dua hari berbanding tahun lalu di mana kita berjaya menarik 30,000 pengunjung dalam masa sehari.

"Antara tarikan utama yang berjaya menarik pengunjung ialah dengan wujudnya gerai-gerai makanan dan buah-buahan tempatan yang kita sediakan di sini," katanya lagi.

Tambah Hsiang lagi, pada tahun ini seramai 16 penganjur terlibat secara langsung dan mengharapkan agar lebih banyak penyertaan di masa hadapan.


Tag: