Empat Daerah Kembali Dilanda Banjir, Besut Catat Mangsa Tertinggi
MARANG, 7 Mei - Perkara yang memberi manfaat berpanjangan kepada golongan sasar menjadi kriteria utama penyaluran bantuan atau sesuatu dana di Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, bantuan disampaikan kerajaan negeri berdasarkan pertimbangan akan keperluan dan manfaat yang lebih baik kepada rakyat.
"Memang kalau ditanya, semua orang hendak duit di tangan tetapi kalau kita bercakap tentang keperluan asasi yang lebih mendesak, itu perlu diberi keutamaan kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majllis penyerahan sumbangan tablet menerusi Inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Perpustakaan Marang, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Terengganu Inc. Sdn Bhd, Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun dan pentadbir daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya tidak mahu bantuan yang diberikan habis sekelip mata sebaliknya mengambil inisiatif mewujudkan satu program lain yang kesannya bertahan lama seperti pemberian kad sejahtera untuk manfaat kesihatan rakyat .
Sehubungan dengan itu katanya, tidak timbul isu tentang dana raya negeri Terengganu pada tahun ini sebaliknya ia diterjemahkan dalam bentuk bantuan COVID-19 kepada golongan memerlukan.
"Kerajaan negeri kini masih dalam proses mengenal pasti penerima dana bantuan yang akan diberikan kerajaan negeri dalam masa terdekat.
"Ada tetapi tidak sama. Kita tidak namakan dana raya, sebaliknya kita berikan dana bantuan kepada mereka yang memerlukan dalam bulan Ramadan ini. Kita anggarkan, akan ada sekitar 1,000 orang penerima bagi setiap DUN.
"Sekarang ini, kerajaan masih dalam proses kenal pasti penerima yang layak dan kebetulan ia jatuh pada bulan Ramadan ini. Bagi bantuan ini, kita akan beri samada dalam bentuk bantuan tunai RM100 atau barang keperluan di samping bantuan lain," katanya.