• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Marang Bersedia Lebih Awal Berdepan Kemungkinan Banjir


A. Latiff  turut menyokong kempen Tabung Kemanusiaan Rohingya selepas Majlis Makan Malam Bersama A. Latiff Awang, ADUN Pengkalan Berangan Bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Marang Tahun 2017/1438H di Dewan Utama, Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, malam tadi. Foto oleh Zulkipli CW Putra
Marang satu-satunya daerah yang giat mengadakan persiapan awal bagi menghadapi musim tengkujuh memandangkan kedudukannya di pesisir pantai bermula dari Pantai Rantau Abang hingga ke Pantai Chendering yang lebih terdedah kepada bencana banjir besar dan luar jangka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi Dan Transformasi Negeri, A. Latiff Awang berkata, persiapan awal termasuk memastikan 53 pusat pemindahan sementara dan 13 pangkalan hadapan di seluruh daerah itu bersiap sedia jika banjir melanda serta memerlukan pemindahan segera penduduk.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang berkata, persiapan lain termasuk pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan melibatkan semua agensi dan badan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marang seperti Pejabat Daerah Marang, Majlis Daerah Marang (MDM), Polis, Bomba Dan Penyelamat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam  Malaysia, Jabatan Kesihatan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah  serta  badan bukan kerajaan termasuk Jawatankluasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan penghulu mukim di kawasan terdedah banjir supaya dapat meminimumkan risiko kejadian itu.

“Kita mahu semua agensi terlibat peka dengan persekitaran dan cuba meminumkan risiko banjir di kawasan yang terdedah dan kritikal.

“Seperti sebelum ini, pada 2015 kira-kira 2,000 penduduk di sekitar Bukit Payong berpindah, jadi kita tidak mahu masalah itu berulang dan punca kejadian itu juga perlu kita selesaikan supaya masalah yang sama tidak timbul lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Makan Malam Bersama A. Latiff Awang, ADUN Pengkalan Berangan Bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Marang Tahun 2017/1438H di Dewan Utama, Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, malam tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Zainal Abidin Mohamed dan Yang Dipertua MDM, Rozali Salleh.

A. Latiff juga berharap pertemuan semua JPBD itu dapat melicinkan dasar dan juga strategi bagi mengendalikan sesuatu bencana di daerah itu dan bukan hanya tertakluk kepada tragedi banjir sahaja, sebaliknya bersedia dalam sebarang kejadian lain seperti kebakaran, tanah runtuh serta lemas.


Tag: