'Mari Cuba Dulu, Masuk 8 Pagi Balik 2 Petang'

SETIU, 2 Februari – “Mari cuba dulu, beban kerja di sini bergantung kepada kebolehan kita dan pelbagai faedah diperoleh dapat berbanding bekerja sendiri," luah seorang pekerja ladang TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) yang menyarankan anak negeri merebut peluang pekerjaan dalam sektor tersebut.

Menurut Mohd Rozi Ghazali, 44, pengalaman bekerja selama empat bulan bekerja di ladang sawit milik anak syarikat kerajaan negeri amat positif di samping jadual kerja yang fleksibel.

Mohd Rozi Ghazali memikul alat penuai kelapa sawit

“Memang kita lihat industri sawit ini agak penat dari segi kudrat digunakan, namun di sini ia diringkaskan dengan jadual bergantung keupayaan sendiri bersama suasana kerja berpasukan yang akrab.

“Jika masuk 8 pagi boleh pulang waktu 2 petang (mengikut keupayaan), jika orang tempatan tidak ambil kerja ini amat rugi, dengan elaun rumah, minyak dan lain-lain sehingga RM600.

“Pendapatan di sini amat memadai dan saya dapat sara empat orang anak beserta isteri, cuma perlu rajin berkhidmat sahaja,” katanya ketika ditemu bual pemberita, hari ini.

Berkongsi pendapat serupa, rakan setugasnya, Mohd Adam Abdul Samad, 32, menjelaskan pendapatan kerja diraihnya sebagai seorang penuai mencecah hampir RM4,000.

Menurutnya yang berasal dari Kampung Lembah Bidong, dia tidak menyesal beralih bidang daripada menjadi seorang penternak udang kepada penuai sawit apabila menerima manfaat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta manfaat kesihatan.

“Kalau kita sakit, semua TDMP tanggung, jika kerja kampung kita tiada jaminan tersebut. Jadi kepada mereka diluar sana jangan takut kerja di ladang sawit, jika kita bekerja bersungguh-sungguh, hasil amat lumayan,” jelasnya.

Bagi seorang pekerja berusia 50 tahun, Fauzi Mohamad menceritakan usia bukan penghalang bagi orang kampung dan tempatan untuk bergiat dalam industri perladangan tersebut.

“Paling tinggi gaji saya lebih RM3,000 berdasarkan prestasi kerja, kalau saya umur sedekad ini mampu apatah lagi orang muda dalam Terengganu di luar sana boleh raih pendapatan dan peluang ini,” tambahnya.

Baru-baru ini, TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) menawarkan 800 peluang pekerjaan kepada warga tempatan dalam tempoh pandemik COVID-19.

Pengarah Eksekutifnya, Najman Kamaruddin berkata pihaknya kini giat menjalankan usaha merekrut penduduk tempatan, terutamanya masyarakat di kawasan perniagaan syarikat berada dan beroperasi di kesemua 13 ladang miliknya di Terengganu.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan pekerjaan kosong disediakan TDM Berhad boleh merujuk paparan iklan dibawah :