MAWADDAH Perkasa Kaum Wanita

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan Majlis Pelancaran MAWADDAH 
Oleh: Noraini Jusoh & Mastura Jamal Din

KUALA NERUS, 23 Februari- Majlis Permuafakatan Wanita Terengganu (MAWADDAH) yang dilancarkan hari ini dibarisi wanita-wanita profesional dari pelbagai latar belakang, akan berperanan sebagai badan penasihat kerajaan dalam memperkasakan kaum wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, penubuhan MAWADDAH dibawah portfolionya itu selari dengan usaha kerajaan yang berhasrat memperluas peranan dan sumbangan wanita dalam proses pembangunan negeri ini khususnya.

"MAWADDAH dipengerusikan oleh Zarani Othman yang merupakan isteri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali.

"Ianya dianggotai oleh 20 jawatankuasa yang terdiri daripada kalangan wanita profesional samada dalam badan bukan kerajaan (NGO), para akademik, bidang politik dan lain-lain lagi.

"Mereka ini (wanita profesional) dikumpulkan dalam satu jawatankuasa untuk melihat apakah portfolio wanita boleh dikembangkan lagi dalam membantu dan memartabatkan kaum wanita supaya berada di puncak kejayaan," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika pelancaran MAWADDAH di Majlis Perasmian Hari Sayyidatina Aishah Sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.

Hanafiah berkata, mesyuarat pertama Mawaddah akan diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Manakala pada 5 Mac ini, satu seminar hala tuju wanita juga akan diadakan untuk mencari satu resolusi bagi digunakan dalam menggerakkan portfolio wanita pada masa akan datang" ujarnya.






Tag: