Mayat Tiga Beradik Perempuan Dihanyut Badai Ditemui


Mayat mangsa lemas yang dibawa pasukan penyelamat selepas ditemui dalam gerakan mencari dan menyelamat yang dilaksanakan sejurus tragedi malang itu.
Oleh : Mohd Asyraf, Sulaiman Rusli, Adli Mohamad

DUNGUN, 31 Disember - Mayat mangsa terakhir, Nurain Fatma Zawawi, 10 tahun yang juga kakak sulung daripada tiga mangsa yang dihanyutkan ombak besar dalam tragedi malang, di Pantai Sura Tengah, di sini, semalam, ditemui tidak jauh dari pesisir pantai, kira-kira jam 11.10 pagi ini.

Penemuan  oleh Ahli Kelab Persatuan Bantuan Kecemasan Daerah Dungun, Suhaimi Muda bersama pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melancarkan operasi gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sejurus tragedi itu.

Mangsa, Nurain Sufia Zawawi, 8, ditemui terapung pada pukul 7.38 pagi tadi dalam lingkungan 5 kilometer (km) dari lokasi kejadian manakala adiknya Nurain Sasabila, 6, dijumpai pada kira-kira pukul 9.40 pagi tadi, iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Menurut Suhaimi, dia terlihat sesuatu terapung di permukaan laut dan tanpa teragak-agak terus berenang mendekati objek itu bagi mengenalpastinya.

"Apabila saya menghampiri objek tersebut ianya adalah mangsa yang dicari menyebabkan saya terus bergegas menutup mayat dengan pakaian saya dan membawa ke daratan untuk mendapatkan bantuan bagi membawa mangsa segera ke pusat operasi pencarian," katanya.


Menurutnya, dia meminta bantuan sebuah van yang melalui kawasan itu untuk membawa mayat mangsa berikutan semua petugas dan pasukan penyelamat berada di lokasi berbeza bagi meluaskan zon SAR itu.

"Saya nampak van sekolah yang sedang membawa pelajar UiTM, terus saya panggil van berkenaan untuk bawa mangsa ke pusat operasi pencarian," katanya lagi.

Manakala Timbalan Pengarah Bomba Negeri Terengganu, Syarikan Bustaman, bersyukur kerana ketiga-tiga mangsa berkenaan ditemui tidak sampai 24 jam sekali gus menamatkan operasi SAR dengan lancar.

Menurutnya, pencarian  yang bermula 7.40 petang semalam berjaya menemui ketiga-tiga mangsa tidak sampai sehari pada kedudukan tidak jauh antara satu sama lain sekali gus mencatat rekod penemuan yang pantas sejurus menerima laporan kejadian.

"Mangsa pertama kita temui dalam jarak lima kilometer dari tempat kejadian yang sebenar. Mangsa kedua yang ditemui dari jarak satu kilometer dan mangsa ketiga dalam empat kilometer.


"Kita mendapat  bantuan dari semua pihak (agensi kerajaan) sama ada dari Angkatan Pertahanan Awam, APMM (Anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia), JBPM dan  Polis, mengeluarkan aset mereka. Jika mangsa tidak ditemui pada hari itu, unit operasi  APMM  diminta menggunakan helikopter mereka,"katanya.


Katanya, operasi itu menggunakan kekuatan 79 anggota petugas dari pelbagai agensi penyelamat dan jabatan kerajaan.


Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang semalam, tiga beradik yang berasal dari Kelantan itu sedang  bercuti bersama ibu saudara mereka ke Dungun manakala ibu bapa mereka berada di kampung (Kelantan).

Ketiga-tiga mereka dipercayai ditarik oleh ombak besar ketika bermain di tepi pantai.





Tag: