MARANG, 22 Februari - Menepati pengumuman kerajaan negeri, 'Jumaat Hari Ilmu, Sabtu Hari Keluarga', Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menggunakan kesempatan masa yang ada untuk mengikuti kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, pagi tadi.
"Kuliah Dhuha disampaikan oleh Tuan Guru Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diadakan setiap Jumaat sejak puluhan tahun dulu itu sentiasa dipenuhi ramai pengunjung dari seluruh Terengganu yang cintakan ilmu," kata kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau, hari ini.
Menurutnya lagi, lokasi tumpuan ribuan rakyat itu turut menjadi pusat aktiviti ekonomi penduduk setempat.
Sejurus selesai majlis ilmu itu, Dr. Samsuri bersama isteri kemudiannya meninjau pasar pagi di sekitar Masjid Rusila yang menawarkan pelbagai keperluan termasuk barang mentah, pakaian dan kuih-muih.
Beliau turut berbual mesra dan sempat melayani permintaan orang ramai yang mahu mengabadikan foto kenangan bersama.
Dr. Samsuri juga sempat singgah untuk menikmati juadah pagi di warong berhampiran sebelum pulang.