MB Cabar TikTokers Sertai Cabaran Hasilkan Video Menarik

KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi cabaran kepada pengguna media sosial TikTok menghasilkan video kreatif yang terbaik dengan menyertai pertandingan dianjurkan kerajaan negeri.

Menurutnya, pertandingan yang bakal diadakan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu menghasilkan kendungan video kreatif berdurasi diantara 30 hingga 45 saat serta kategori menghasilkan kandungan video kreatif berdurasi kurang dari dua minit.

"Hadiah utama yang ditawarkan bagi setiap kategori ialah RM2,000, hadiah kedua bernilai RM1,500, hadiah ketiga RM1,000 dan tiga hadiah saguhati RM500 bagi setiap kategori.

"Syarat-syarat penyertaan, tempoh serta kandungannya akan dirangka oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) akan diumumkan kemudian dan hanya terbuka kepada anak Terengganu yang berada dalam negeri ini sahaja," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan TikTokers Terengganu, di Paya Bunga Hotel, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said. 

Menurut Dr Samsuri, cabaran itu diwujudkan kerana menyedari bertapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh pengiat media sosial melalui aplikasi tersebut selama ini dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat mengenai kerajaan negeri.

"Di peringkat kerajaan negeri kami amat menghargai kebebasan bersuara anak-anak muda melalui kreativiti yang dipamerkan selama ini dalam mengutarakan pandangan serta pendapat di media sosial," ujarnya.