MB Terengganu Bantu Tunai Hasrat Samsani

Kunjungan Pejabat DUN banyak membantu menyelesaikan permasalahan rakyat setempat. 
Oleh: Aziz Hambali

MARANG, 31 Oktober - Sekumpulan sukarelawan Politeknik Kuala Terengganu diketuai pensyarah, Mohd Fathi Omar melaksanakan pemasangan pendawaian elektrik dalam kunjungan ke rumah Samsani Mohamad, 45, di Kampung Rahmat, semalam.

Projek ini merealisasikan hasrat ibu tunggal itu yang inginkan keperluan elektrik sejak berpindah ke rumah itu baru-baru ini.

Projek pendawaian elektrik merupakan usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang diwakili pegawai khasnya, Sabri Zakaria dalam kunjungan kali ketiga ke rumah wanita itu sejak sebulan lalu.

Samsani sebelum ini pernah mengadu tentang ketiadaan bekalan elektrik yang disambung ke rumahnya akibat masalah status tanah yang tidak berkesudahan.

Kegembiraan terpancar di wajah Samsani apabila permasalahan yang membebaninya kini berjaya diselesaikan setelah Dr Samsuri melanjutkan permasalahan tersebut kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Terdahulu,  wanita yang memiliki tujuh orang anak itu dikunjungi Sabri pada bulan lepas yang berjanji memberikan bantuan ADUN dalam perkara itu.

Kunjungan kali  ini turut disertai Penyelia Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), Nasaruddin Samsudeng dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kuala Tengah, Abdan Awang.

Tag: