MB Terengganu Beri Semangat Kepada Calon SPM & STPM
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto - Tengku Syamim Tengku Ismail |
Beliau mengharapkan supaya calon-calon SPM dan STPM di seluruh Malaysia dan Terengganu khususnya dapat menghadapi peperiksaan dengan hati yang tenang dan tenteram.
"Yakinlah anak-anak semua pada diri sendiri dan berdoalah kepada Allah SWT agar dapat menjawab soalan dengan sempurna dan tepat," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan khas kepada calon SPM dan STPM 2018 melalui video yang dimuat naik di Facebooknya , semalam.
Dalam tumpuan sama, Dr Samsuri sempat memberi nasihat agar menjadikan peperiksaan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan kemampuan diri.
"Anggaplah peperiksaan adalah satu kaedah membina diri kita, melakukan muhasabah dan cara untuk menambah baik kemampuan diri kita secara berterusan.
"Tidak lupa juga, kepada guru-guru dan ibu bapa, berikanlah kasih sayang dan dorongan berterusan kepada pelajar dan anak-anak agar mereka mempunyai keyakinan untuk menghadapi peperiksaan dengan jaya insya-Allah," tambahnya.
Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 akan bermula daripada 13 November hingga 13 Disember ini.
Seramai 421,706 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu tahun ini di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.