MB Terengganu Hasrat Anak Muda Mandiri

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan ucaptama dalam pada Majlis Perasmian Ijtima' Kepimpinan Pemuda Islam Asia Kali Ke-2 semalam.
Oleh: Aslam Wira

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Kerajaan Terengganu memberi penekanan serius dalam usaha membina generasi muda sebagai salah satu watak penting dalam menjayakan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Moktar berkata, ianya termasuklah memfokuskan tentang pembinaan kemandirian mereka melalui segmen pendidikan, perusahaan, keusahawanan dan sebagainya.

"Kita beri pancingnya, dia akan berusaha mendapatkan ikannya sendiri. Dalam erti kata lain, kita tidak langsung memberikan apa yang dia inginkan, tapi kita berikan bantuan yang boleh dipakai untuk berusaha sendiri dan mampu mendapatkan ikan sampai bila-bila," katanya.

Menurutnya lagi, usaha ini akan dimulakan seawal tahun 2019, dan sekiranya Kerajaan Terengganu diberi ruang yang lebih, usaha ini akan dikembangkan sehingga 2020, malah sehingga habis penggal pemerintahan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Ijtima' Kepimpinan Pemuda Islam Asia Kali Ke-2 di Hotel De Palma, Ampang, Kuala Lumpur semalam.


Program tahunan anjuran Asian Muslim Federation of Muslim Youth (AFMY) tersebut melibatkan wakil-wakil belia dari 10 negara Islam di Asia termasuk negara Palestin dan Yaman. Ianya bertujuan untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan umat Islam, khususnya dalam konteks generasi muda.

Dalam tumpuan sama, Dr Samsuri turut memberitahu, beliau percaya perbincangan antara negara ini adalah satu perbincangan yang penting untuk membuka mata bagi mencari penyelesaian daripada pengalaman dan masalah yang wujud di negara masing-masing.

“Kadangkala cara dan kaedah yang diamalkan di negara berbeza ini boleh digunakan di negara lain sebagai jalan penyelesaian di ‘luar kotak’. Perbincangan yang dilakukan perlu diletakkan 'priority', disebabkan masalah yang telampau banyak supaya persidangan ini tidak menjadi tempat luahan semata-mata," ujarnya.


Justeru, katanya, setiap perbincangan dalam sidang itu perlu dirancang agenda bertindak, strategi, kaedah pelaksanaan dan siapa yang bertanggungjawab, supaya masalah dan isu yang dibincangkan dapat diselesaikan.

Hadir sama dalam sidang media tersebut, Pengerusi Yayasan Serendib Sri Langka, Muhammad Rafique.

Tag: