Dr Ahmad Samsuri (dua dari kanan) melihat pelan cadangan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pulau Redang. |
Lawatan tersebut bertujuan mengkaji kewajaran memanjangkan landasan sedia ada kepada 2.2 kilometer bagi membolehkan kapal terbang berkapasiti 180 tempat duduk boleh mendarat bagi merancakkan kedatangan pelancong asing ke pulau pelancongan yang masyhur itu di masa akan datang.
Dikatakan lapangan terbang sekarang terlalu pendek, hanya sepanjang satu kilometer, untuk kapal terbang kecil berkapasiti 18 tempat duduk sahaja boleh mendarat.
Dr Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) diberi taklimat berhubung dengan perkembangan di Pulau Redang dalam lawatan ke pulau itu hari ini. |
Landasan tambahan itu dijangka menelan belanja kira-kira RM400 juta bertujuan untuk membolehkan pelancong asing terus datang ke pulau berkenaan dari negara masing-masing.
Dengan ukuran landasan itu membolehkan penerbangan antarabangsa mendarat di pulau berkenaan.
Bagaimanapun kerajaan negeri belum membuat apa-apa keputusan mengenai penambahbaikan lapangan terbang tersebut.
Difahamkan, selepas mendapat kelulusan dari Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, cadangan itu akan dibawa sendiri oleh pihak pencadang kepada Kerajaan Pusat untuk pertimbangan.
Jika diluluskan, ia akan diserahkan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk pelaksanaan selanjutnya.