Media Sosial Jadi Ancaman Besar 'Ulat Buku'
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kecanggihan teknologi masa kini boleh memudarkan minat masyarakat terhadap amalan membaca dan menuntut ilmu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim menzahirkan kebimbangan terhadap situasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat terutama bagi golongan pelajar.
“Saya melihat media sosial menjadi punca utama menyebabkan pelajar kurang minat membaca buku atau kitab, dibimbanginya bakal jadi hiasan dalam almari sahaja suatu hari nanti.
”Kita perlu terapkan minat pelajar bermula dengan peranan ibu bapa di rumah dengan pelbagai cara seperti beli bahan bacaan atau bawanya ke pesta buku agar dapat memupuk minat terhadap media cetak tersebut, serta mengawal anak supaya tidak terlalu terikat dengan media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pesta Buku @ PPAT 2024 di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu;l, Ridzuan Hashim, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Syed Ab Rahman Hilmi Syed Zain, dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Norliza Ismail.
Tambah Maliaman, beliau memuji usaha dibuat pelbagai pihak untuk menambah minat membaca dalam masyarakat serta mengekalkan suasana keilmuan melalui penulisan dan media cetak.
“Program seperti ini sangat penting supaya jalinan tradisi keilmuan kekal dengan penulisan tradisional atau media cetak dan sebagainya, kerana pembelajaran melalui kitab dapat menjamin keselamatan ilmu dan ketulenan sumber.
“Kita juga berharap setiap bacaan dapat diterjemahkan secara ‘amali’ dalam semua aspek kehidupan, ramai baca Al-Quran, tapi terlalu sedikit beramal dengan isi kandungannya.
“Dengan ilmu mampu merubah dan hasilkan masyarakat bijak pandai, sama ada cara minda berfikir atau bertindak, seterusnya dapat menjadikan masyarakat yang bermutu tinggi,” ujarnya.