‘Mek Raya’ Promosi Produk Pelancongan Di Wilayah Ketengah
KUALA TERENGGANU, 30 Januari- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melalui Ketengah Holding Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat produksi Nang Surya Studios bagi mempromosi Wilayah Ketengah, khususnya Tasik Kenyir menerusi telemovie untuk siaran RTM berjudul ‘Mek Raya’.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd, Mohd Zaid Sulaiman berkata, telemovie yang memaparkan kisah masyarakat tempatan itu mengadakan pengambarannya seratus peratus di Terengganu di mana sebahagian besarnya dilakukan di sekitar Hulu Terengganu dan Tasik Kenyir.
“Telemovie ini berkisar mengenai masyarakat majmuk "Keluarga Malaysia" di Terengganu dan dalam masa yang sama memaparkan lokasi menarik Wilayah Ketengah yang mencakupi Pulau Orkid, Santuari Kelah, Jeti Gawi, Pulau Poh di Tasik Kenyir, Muzium Bukit Besi dan Kampung Pasir Raja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan bagi Telemovie Mek Raya antara Ketengah Holding Sdn Bhd dan Nang Surya Group Sdn Bhd di Primula Beach Resort, hari ini.
Mohd Zaid berkata, Ketengah Holding Sdn Bhd menyumbang sebanyak RM50,000 untuk produksi ‘Mek Raya’.
“Kita mengharapkan dengan penajaan ini promosi produk pelancongan di Wilayah Ketengah terutamanya dan di Terengganu amnya dapat disebarluaskan.
“Secara tidak langsung, jumlah pelancong ke negeri kita dan Wilayah Ketengah meningkat seterusnya akan melonjakkan rantaian ekonomi peniaga tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana Nang Surya Group memilih Wilayah Ketengah sebagai lokasi pengambaran bagi telemovie terbitan mereka.
Telemovie 'Mek Raya' menampilkan barisan pelakon antaranya Watie Sadali, Zul Huzaimy, Azrul Rajalawak, Dave, Joyce Harn.