Menjaga Maslahat Umum Lebih Utama Berbanding Perasaan Malu Pesalah
KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap individu yang melakukan kesalahan khalwat berulang dilihat lebih menepati 'maqasid syariah' dalam menjaga maslahat umum berbanding perasaan malu pesalah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tidak wajar jika masih ada golongan yang mahu hukuman itu diteliti sepenuhnya demi menjaga maruah individu terbabit.
Ujarnya, setelah diberikan kefahaman telah ramai yang mengakui bahawa hukuman mengikut perundangan Islam dan lebih baik berbanding sivil.
"Betul dari segi mudaratnya ia akan memalukan pesalah terbabit tetapi di sana ada maslahat yang lebih besar di mana kita hendak menyedarkan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan ini.
"Kerana perbuatan ini merosakkan masyarakat bukan hanya diri (pesalah), bahkan (jika dibiarkan tanpa diberi pendidikan dan pengajaran) akan meruntuhkan institusi kekeluargaan dan merosakkan masyarakat secara umumnya.
"Bila dilaksanakan hukuman ini kita hendak menjaga masyarakat agar sentiasa berkeadaan baik dalam suasan harmoni, kita perlu berfikir secara waras iaitu menjaga masyarakat lebih besar daripada menjaga perasaan malu pesalah yang degil," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Pejabatnya di Tingkat 6, Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Muhammad khalil berkata daripada sudut ilmu perundangan Islam, ada perkara memalukan diizinkan syarak dan ada yang tidak dibenarkan.
"Perkara memalukan yang diizinkan syarak bahkan digalakkan syarak jika sekiranya terdapat maslahat yang lebih besar.
"Contohnya, sebagaimana melaksanakan hukuman takzir sebat terhadap pesalah degil di khalayak ramai bertujuan untuk menyedarkan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan ini dan menjauhinya," ujarnya.