Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Menteri Dalam Negeri (KDN), Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dituntut bertindak tegas terhadap penghina agama Islam.
Hantaran pengguna media sosial yang dikenali 'Ryan Azzaro' menunjukkan seorang wanita bertutup seluruh badan sedang melakukan lompatan ke dalam kolam renang dengan kapsyen 'Welcome To Afganu' perlu disiasat segera.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) hari ini telah membuat laporan polis bagi memastikan ia sampai ke pengetahuan Menteri KDN itu.
"Kita nak minta siasatan dan pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen (4) (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana secara jelas (perkara itu) telah melanggar 3R.
"Saya ingat hampir setahun lebih perkara ini ditegaskan oleh Kerajaan Madani hari ini, jadi kami menuntut hak yang sewajarnya bukan atas dasar pembangkang ataupun kerajaan.
"Tetapi perkara itu telah menyentuh sensitiviti agama Islam secara keterlaluan, jadi saya minta pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, pihaknya meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk tidak berdiam diri dalam soal persendaan terhadap ajaran Islam.
"Saya masih ingat setahun yang lalu kita dipanggil ke IPK Terengganu bagi memberi laporan tentang pemuda PAS yang berpakaian seperti pejuang Islam dan melakukan perarakan sedangkan tiada sebarang keganasan dilakukan atapun mengina dan memperkecilkan mana-mana agama, itu pun kami dipanggil.
"Jadi saya minta perkara yang sama atau mungkin lebih tegas lagi daripada pihak polis serta pihak-pihak terbabit termasuk Menteri KDN sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan dalam negara ini bagi membawa manusia tidak bertanggungjawab ini ke muka pengadilan." tegasnya.
Katanya, sekiranya tiada tindakan diambil pihaknya akan terus menggunakan saluran lain untuk menuntut keadilan selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan.
"Kita berharap ada tindakan, jangan didiamkan sahaja bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, apa yang terjadi ini tidak boleh dibiarkan tanpa ada keputusan ataupun satu hukuman yang sepatutnya," katanya.