Meterai Perjanjian Bersejarah dalam Tenaga Hijau dan Kecekapan Tenaga

KUALA TERENGGANU, 22 September - Memorandum Perjanjian Tenaga Hijau adalah lambang kepercayaan terhadap tenaga yang diperbaharui sebagai jalan utama dalam mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan pergantungan kepada bahan bakar fosil.

Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad, Mohd Iskandar  Muhammad Aziz berkata, kerajaan negeri berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat tenaga hijau dan kecekapan tenaga yang mampan.

“Tenaga hijau dan kecekapan tenaga adalah dua aspek kritikal yang saling melengkapi. 

"Tenaga hijau menawarkan kita alternatif yang lestari, manakala kecekapan tenaga memastikan penggunaan tenaga dilakukan secara optimum, mengelakkan pembaziran, dan menyumbang kepada pengurangan jejak karbon,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Memorandum Perjanjian Persefahaman Tenaga Hijau Dan Efficiency Management di antara TESDEC Services Sdn.Bhd. dengan Alka System Sdn.Bhd di Permai Hotel pada hari ini.

Menurutnya, penggunaan sumber seperti tenaga solar, angin, dan hidro memberikan keyakinan bahawa masa depan tenaga hijau akan menjadi cerah.

“Hari ini adalah satu detik yang amat berharga dan bersejarah menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian (MOA) mengenai Tenaga Hijau dan Memorandum Persefahaman (MOU) dalam Pengurusan Kecekapan Tenaga di Negeri Terengganu.

“Memorandum Persefahaman mengenai Pengurusan Kecekapan Tenaga pula adalah langkah strategik yang membolehkan kita menerapkan budaya kecekapan dalam penggunaan tenaga.

“Ini tidak hanya menjimatkan kos, tetapi juga meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam industri,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap perjanjian pada hari ini bukan sekadar di atas kertas, tetapi suatu simbol dedikasi dalam memperjuangkan kemapanan tenaga untuk masa hadapan.

“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, kami menyedari pentingnya bekerjasama dengan semua pihak kerajaan, industri, dan masyarakat.

“Ini adalah tugas kita bersama untuk memastikan generasi akan datang mewarisi dunia yang lebih bersih dan hijau,” tambahnya.


Tag: