Minggu Al-Quds : Bangkit Kesedaran Rakyat Bebaskan Palestin

KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Aid4Palestine dengan kerjasama Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah telah melancarkan sambutan Minggu Al-Quds pada Jumaat lalu bagi membangkitkan kesedaran tentang perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada rejim Israel.

Pengerusi Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sambutan tahun ini diadakan dalam skala lebih besar denganmelibatkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh masyarakat serta pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, tanggungjawab serta kepentingan membesarkan bumi Palestin itu bukan hanya perlu disedari oleh orang Islam sahaja tetapi juga bukan Islam kerana ia turut membabitkan isu kemanusiaan.

"Harapa saya sangat tinggi agar seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama untuk bersama-sama membantu dan berkerjasama bagi membebaskan Baitulmaqdis ini yang sekian lama kita melihat rakyat Palestin berada dalam kesengsaraan kerana dizalimi Zionis Yahudi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Al-Quds yang disempurnakan perasmiannya oleh Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang, di Dataran Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, di sini, pada kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Pelancaran minggu Al-Quds tersebut turut diserikan dengan gimik perasmian dengan pelepasan 500 peserta konvoi bermotorsikal, pacuan empat roda dan juga berbasikal.

Selain itu, program kemuncaknya pada 5 Mac nanti di Putrajaya akan turut melibatkan pelbagai golongan lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dengan aktiviti mewarna, memanjat bukit serta pelbagai aktiviti lagi dalam usaha mendidik masyarakat agar peka dengan isu yang melanda di Palestin.

"Kita berhasrat pada awalnya untuk turut mengadakan Le tour De Al-Quds yang konsepnya seperti Le Tour De Langkawi, dimana penunggang basikal akan mengelilingi seluruh Malasyia namun kerana masih lagi bimbang dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang masih melanda jadi kita tangguhkan dahulu.

"Pada tahun akan datang kita pastikan ia lebih meriah,"ujarnya Muhammad Khalil.

Justeru, pihaknya berbesar hati untuk mengajak seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama berkongsi rasa dalam menjayakan program berkenaan dalam memperteguh solidariti Al-Quds dengan umat Islam di Palestin.

 

 

 


Tag: