MPKK Felda Jerangau Tebang Pokok Berusia, Elak Kemalangan


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 31 OKTOBER - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau memutuskan supaya semua pokok besar dan berusia di kampung itu ditebang bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pengerusi MPKK Felda Jerangau, Mohd Sidek Muhammad berkata, keputusan mesyuarat berkaitan perkara itu telah diputuskan dan dalam masa yang terdekat akan diadakan gotong-royong.

Katanya, pihaknya telah memaklumkan kepada pengurusan FELDA dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengambil tindakan yang sepatutnya.

"Kita sedia maklum, tidak lama lagi dijangka angin kencang akan melanda apabila tibanya musim tengkujuh.

"Risau ianya akan terkena rumah penduduk yang akan mengundang risiko yang tinggi dan melibatkan nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, mengulas mengenai keputusan yang dibuat baru-baru ini dalam Mesyuarat Khas Keceriaan dan Keselamatan, di Felda Jerangau.

Menurutnya, MPKK yang dilantik perlu bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan komuniti dan orang ramai.

"Setiap apa yang menimpa komuniti, MPKK harus bertanggungjawab.

"Menyedari akan hakikat itu, maka keputusan menebang pokok yang berusia puluhan tahun segera diambil kerana ia dikhuatiri akan tumbang,” katanya.


Tag: