MSNT Sedia Tawar Jurulatih Sambilan Kepada Che Azrol

Ibni bersama beberapa pegawai MSNT melawat Che Azrol yang mendapat rawatan di HSNZ. Foto oleh Zulkifli C W Putra

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bersedia menawarkan  jawatan sebagai jurulatih sambilan kepada bekas wira angkat berat negara, Che Mohd Azrol Che Mat, 38, sebaik selesai mendapat rawatan masalah buah pinggang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Che Mohd Azrol yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai jurulatih angkat berat MSNT selama tiga tahun dan berakhir 2015, turut dikesan mengalami jangkitan  kuman dalam paru-paru, hati dan limpa.

Pengarahnya, Ibni Amin Busu berkata, pihaknya  bersimpati dengan nasib Che Mohd Azrol dan akan berusaha untuk membolehkannya kembali berkhidmat sebagai jurulatih sambilan.

“Pada masa sama, berusaha sebaik mungkin dan membawa perkara ini kepada pengetahuan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri (Datuk Rozi Mamat) untuk tindakan selanjutnya, terutama berkaitan bantuan kesihatan.

“Berkemungkinan akan dipanjangkan kepada unit Tabung Darul Iman atau mana-mana pihak bagi membantu meringankan beban Che Asrol,”katanya ketika ditemui selepas melawat bekas wira angkat berat itu di HSNZ, hari ini.

Dalam laporan Harian Metro Khamis lalu, pemenang dua pingat emas di Sukan SEA 2003 di Vietnam dan 2005 di Filipina dalam acara angkat berat kategori 105 kilogram itu meluahkan rasa terkilan seolah-olah tidak dipedulikan apabila terlantar sakit di HSNZ  hampir dua minggu lalu.

Atlet itu mendakwa, beliau kini hanya bergantung hidup kepada orang tuanya yang bekerja kampung yang mampu menyediakan RM2,000 sebulan bagi menampung kos perubatan kerana tiada sumber pendapatan lain.

Sementara itu, Che Mohd Azrol, berkata dia cukup terharu di atas kecaknaan kerajaan negeri dan MSNT sudi menghulurkan bantuan dan apa yang penting menjanjikan pekerjaan untuk meneruskan sisa-sisa hidup.


“Saya  kini perlu mendapat rawatan hemodialisis sebanyak empat kali seminggu dan pekerjaan yang bersesuaian cukup penting  bagi menampung kos perubatannya,”katanya 

Tag: