Kebimbangan umat Islam khususnya di negara ini mengenai Aidiladha dan ibadah korban berakhir, sekali gus boleh menarik nafas lega apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaannya.
Ini membuktikan mesej kerajaan hari ini yang amat mengambil berat hal ibadah umat Islam dan hak Muslim untuk melaksanakan korban yang menjadi simbolik kepada pengabdian hamba kepada Allah SWT.
Pada masa sama, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sangat tegas mengawal penularan wabak COVID-19 melalui arahan tetap serta garis panduan pelaksanaan ibadah lain dengan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Tanpa kerjasama dan muafakat semua kementerian, kerajaan sukar memperhalusi hal ehwal umat Islam di negara ini dalam situasi penularan wabak mengorbankan ratusan ribu nyawa. Ia bukan sekadar jawatan dan duduk di kerusi pejabat, sebaliknya memerlukan pengorbanan hampir semua agensi kerajaan sesuai dengan peranan masing-masing. Pengorbanan ini memerlukan kerahan fizikal, mental dan emosi tanpa pengecualian.
Kesediaan kerajaan memperhalusi pelaksanaan ibadah korban wajar dipuji walaupun dalam senario pandemik. Ini bertepatan dengan Islam yang mendidik manusia agar menyediakan strategi dan tindakan kemudian barulah menyerahkan semua urusan kepada-Nya.
Pengorbanan perlu menyeluruh dan konsisten. Ia bukan sekadar dibaca dan didengar, bahkan membabitkan pengorbanan dalam menyokong usaha kerajaan. Ibadah korban normal baharu ini wajib dipatuhi atas kriteria kepentingan umum yang dibenarkan syarak. Umat Islam ditegah memperlekeh dan tidak memperdulikannya.
Contohnya, kepatuhan aktiviti berkaitan ibadah korban adalah mengelakkan menerima kehadiran tetamu dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit bawah pemantauan (PUS).
Jamuan secara berhidang atau layanan pramusaji juga dibenarkan kecuali bufet layan diri. Selain itu, penganjur perlu melaporkan program korban yang akan dijalankan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Tepat pada masanya untuk umat Islam menekuni falsafah di sebalik pelaksanaan korban ini dengan berkorban mematuhi syarat baharu.
Pada masa sama, pihak penganjur boleh memberi idea lebih baik untuk pelaksanaan sembelihan lebih efisien dan sistematik sesuai dengan pelaksanaan 3S, iaitu elakkan sesak, sempit dan sembang dalam jarak dekat.
Kawalan terhadap pelaksanaan ibadah korban penganjur sama ada masjid, surau atau individu memperlihatkan normal baharu, sekali gus lambang ketinggian iman dan Islam.
Dengan melihat kepatuhan terhadap pelaksanaan korban dalam era PKPP ini, kita juga mahu umat Islam meluaskan ciptaan kreatif dan inovatif khususnya di masjid dan surau agar seiring kemajuan teknologi memudahkan Muslim melaksanakan ibadah.
Penggunaan alat pengimbas suhu auto, khutbah lebih padat dan bertenaga sehingga teknologi mesin penyembelihan akan menjadi norma baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Dengan pengorbanan semua, segala pendekatan direncana kerajaan selepas ini akan membawa perubahan ketara dalam masyarakat dan umat Islam di negara ini khususnya.
Kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawab secara serius memastikan rakyat berada keadaan terkawal. Cuma, jika bukan kita menyokongnya, siapa lagi hendak dipersalahkan.
Penulis adalah Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia.