Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
MARANG, 25 Disember - Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) yang julung-julung kali diadakan telah membawa pengalaman baru kepada penuntutnya sekali gus mampu melahirkan qari dan qariah cemerlang di peringkat tertinggi.
Peserta hafazan wanita, Aishah Rusli berkata pendedahan kali pertama membuatkan dirinya sedikit gementar.
"Namun ia menyeronokkan kerana ia adalah pengalaman baru bagi saya, dimana saya telah melakukan segala persediaan dan persiapan yang terbaik bagi memastikan segalanya berjalan dengan sempurna.
"Insya-Allah pengalaman ini tidak akan membuatkan saya berputus asa sebaliknya akan terus menyertainya,"ujarnya yang mula menghafal kitab suci tersebut bermula di bangku sekolah rendah.
Dia yang juga merupakan pelajar tahun akhir Diploma Tahfiz dan Bahasa Al-Qur'an di kolej terbabit, berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada majlis penutup program tersebut yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity (TSIS), Dr. Wan Mat Sulaiman, di Dewan Ibnu Masud, KQT, di sini, pada kelmarin.
Manakala seorang lagi pelajar dalam bidang yang sama, Anis Nabila Sakinah Zahari pula berkata, pengalaman berkenaan menjadikannya lebih bersemangat untuk menyertainya di masa akan datang.
"Apabila dah memiliki pengalaman ini insya-Allah selepas ini akan lebih yakin di samping akan berusaha meningkatkan kemahiran. Insya-Allah saya baru sahaja khatam hafazan ak-Qur'an, insya-Allah selepas ini akan menyusun jadual dengan lebih baik untuk mengulangnya," ujarnya yang mendapat pendidikan bermula dari rumah oleh ibu bapanya yang juga merupakan guru agama.
Dalam pada itu katanya belajar menguasai al-Qur'an merupakan suatu perkara yang tidak mudah serta ia merupakan sebuah perjuangan.
"Terutama dalam menarik generasi pada masa kini untuk mencintai al-Quran kerana antara halangannya ialah remaja pada era kini disibukkan dengan peranti untuk melayari media sosial.
"Saya juga tidak lari daripada menerima ujian berkenaan, namun setiap kali baca al-Qur'an saya akan jauhkan diri dari gajet berkenaan, dan akan memperuntukkan masa dengan sebaiknya untuk al-Quran.
"Nasihat saya kepada remaja luar sana, dampingilah al-Quran agar hidup lebih terpandu, ruangkan masa untuk bersama al-Quran dengan mujahadah (bersungguh-sungguh) walaupun ia sukar dan pahit, namun ketahuilah syurga Allah itu merupakan penamat yang manis," katanya.