Muzium Sebagai Institusi Pendidikan Masyarakat




Oleh: Noor Safinah Mohd

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri berharap institusi muzium bukan sekadar tempat untuk memaparkan bahan-bahan sejarah, sebaliknya menjadi bahan pendidikan kepada masyarakat.

“Adalah sangat penting menarik golongan muda untuk meminati dan memahami bahan-bahan sejarah ini kerana ia mampu mengajar mereka tentang susur galur kehidupan mereka, tentang budaya, tatacara dan akhlak untuk menjadi warga masyarakat yang mampu menyumbang kepada perkembangan Negeri Terengganu dan Malaysia”. ucapnya ketika merasmikan Majlis Perasmian Seminar Kearifan Tempatan di Muzium Negeri Terengganu hari ini.

Namun, pada zaman teknologi maya ini, ia memberi cabaran yang sangat besar kepada agensi seperti ini kerana tarikan pengunjung terutamanya golongan muda terhadap tempat-tempat sejarah semakin mengecil. Jika suatu ketika dahulu muzium dijadikan tempat utama untuk dikunjungi, kini tidak lagi.
“Kita tidak mahu muzium kita dan lain-lain seumpamanya bukan sekadar menjadi tempat memaparkan sejarah, tetapi muzium sendiri menjadi bahan sejarah”. ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Ahmad Samsuri berharap pelbagai inisiatif harus dilakukan untuk menarik masyarakat terutamanya golongan muda untuk meminati dan memahami bahan-bahan sejarah ini agar ia tidak ketinggalan dalam arus globalisasi dan revolusi maya ini.

“Saya berharap agensi-agensi kerajaan dan swasta boleh bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan dan luar negara untuk berkongsi kepakaran masing-masing bagi membantu memartabatkan agensi-agensi kerajaan. Dengan pelancaran E-Commerse Muzium Maya, ia menunjukkan satu nilai tambah yang positif kepada Muzium Negeri Terengganu.” ucap beliau lagi.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pihak muzium kerana kejayaan mendapat pengiktirafan lima (5) bintang Audit Pengurusan Kewangan dan Akauntabiliti 2018. Beliau turut mengingatkan agensi-agensi kerajaan lain berusaha untuk tingkatkan Pengurusan Kewangan, menjaga kepentingan awam dan jauhkan dari sebarang salahlaku atau kepincangan urustadbir.

Seminar Kearifan Tempatan-Tekstil  menghimpunkan ahli akademik dan penyelidik dari seluruh tanah air termasuk peserta dari luar negara seperti Switzerland, Taiwan, Vietnam, Indonesia, Singapore dan Tahiland untuk  perkongsian intelektual yang  mengfokuskan kepada bidang tekstil. Seminar ini akan berlansung selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini sehingga 5 September 2018.


Tag: