KUALA LUMPUR, 2 Julai – Dakwaan wujudnya amalan monopoli atau kelebihan tidak adil dalam aplikasi MyJPJ perlu disiasat segera bagi memastikan persaingan yang telus dan adil.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) perlu menggunakan kuasa di bawah pindaan Seksyen 18 Rang Undang-Undang Persaingan (Pindaan) 2026 untuk menyiasat isu berkenaan.
"Platform kerajaan perlu kekal neutral dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana entiti komersial sehingga menjejaskan prinsip persaingan yang adil," jelasnya ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, persoalan mengenai kewujudan perkhidmatan insurans pihak ketiga, Nile Tech Sdn. Bhd., dalam aplikasi MyJPJ masih belum dijawab secara tuntas.
"Walaupun isu tersebut timbul daripada kebimbangan rakyat mengenai keselamatan data peribadi serta ketelusan akses kepada platform kerajaan," ujar Zulkifly
Beliau menyoal lagi, adakah terdapat unsur monopoli ataupun unfair advantage dan siapakah yang mungkin beroleh manfaat daripadanya.
Menurut beliau, kerajaan perlu menjelaskan mengapa akses kepada platform MyJPJ tidak dibuka kepada semua ejen, broker dan syarikat insurans berlesen, selain menilai kesannya terhadap puluhan ribu ejen insurans serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung kepada pembaharuan polisi kenderaan.
Katanya, pindaan Seksyen 18 membolehkan MyCC memulakan siasatan berdasarkan alasan yang munasabah tanpa perlu menunggu aduan rasmi atau arahan menteri, sekali gus sesuai digunakan bagi meneliti isu yang telah lama menjadi perhatian rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa kuasa berkenaan dimanfaatkan bagi menyiasat isu yang telah lama menjadi perbincangan dalam media sosial demi memastikan keyakinan rakyat terhadap platform digital kerajaan terus terpelihara.
Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Persaingan (Pindaan) 2026, namun menegaskan keberkesanannya bergantung kepada keupayaan MyCC dari segi tenaga kerja, kepakaran forensik digital, teknologi analitik dan peruntukan kewangan yang mencukupi.
"Persaingan yang sihat akan memberi manfaat kepada rakyat melalui lebih banyak pilihan, harga yang lebih kompetitif.
"Dan perkhidmatan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan produktiviti ekonomi serta memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa," tambah beliau.
Tag :