NABZ Food Industries Hasil 3,600 Pau Sehari
Pau Nurul bukan sesuatu yang asing buat masyarakat Terengganu memandangkan perniagaan yang berasaskan makanan sejuk beku itu telah bertapak di negeri ini sejak 12 tahun lalu.
Produk syarikat NABZ Food Industries Sdn Bhd bukan saja berjaya menebusi beberapa pasaraya terkenal tempatan malah luar Terengganu menawarkan lapan perisa istimewa, termasuk kacang merah, strawberi, kaya, kelapa, coklat dan kari ayam.
Pengurusnya, Nor Aini Zakaria, 45, berkata, perniagaan itu bermula dengan modal sendiri sebanyak RM7,500 dan dari masa ke semasa perusahaan itu semakin berkembang dan mendapat perhatian ramai pihak.
Katanya, tanpa adanya bantuan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), SME Bank, Tekun atau Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mungkin agak sukar sedikit untuk sama mengembangkan lagi perniagaan ini.
“Seiring dengan arus kemodenan hari ini, pembuatan pau di kilangnya menggunakan mesin seratus peratus serta tujuh orang pekerja bagi menampung permintaan yang sentiasa bertambah dari masa ke semasa.
“Kesemua proses pembuatan menggunakan mesin di mana sekurang-kurangnya 3,600 biji pau sehari perlu dihasilkan kerana kalau hendak harapkan kerja-kerja manual mungkin agak sukar memenuhi permintaan,” katanya.
Justeru, tidak hairanlah dengan kegigihan yang dilakukannya itu, beliau memperoleh pelbagai pengiktirafan serta memenangi pelbagai anugerah antaranya Anugerah Usahawan YPU, Anugerah Usahawan Negeri Terengganu dan sebagainya.
Nor Aini berkata bagi memastikan Pau Nurul terus berkembang, NABZ tampil dengan cara tersendiri iaitu mempromosikan produk dengan van bergerak
.
“Sebenarnya van bergerak ini telah lima tahun saya perkenalkan, di mana kami akan pergi ke pasar-pasar tani, pasar malam, selain aktif terlebih dalam pelbagai pameran berkait produk makanan halal yang dianjurkan pelbagai jabatan,” ujarnya.