lightning-solid
Berita :
Tasik Kenyir Lokasi Green Data Center Pertama Terengganu
Tasik Kenyir Lokasi Green Data Center Pertama Terengganu
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
62

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos – Tasik Kenyir dipilih sebagai lokasi pembangunan Green Data Center pertama di Terengganu menerusi projek Proof of Concept (PoC) yang menggabungkan teknologi digital dengan penggunaan sumber tenaga hijau.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, cadangan itu merupakan hasil perbincangan susulan kerajaan negeri bersama GICON Sdn. Bhd., sebuah syarikat berpangkalan di Jerman yang berminat meneroka peluang pelaburan di Terengganu.

Menurutnya, projek berkenaan akan dibangunkan dalam bentuk prototaip yang boleh beroperasi sepenuhnya sebelum keberkesanannya dinilai bagi menentukan potensi pelaksanaan pada skala lebih besar.

“Berdasarkan apa yang dibentangkan dan dibincangkan, kita akan usahakan untuk mewujudkan Green Data Center pertama di Terengganu secara Proof of Concept.

“Projek ini akan menjadi prototaip yang boleh diguna pakai sepenuhnya, selain menilai sumber tenaga hijau paling sesuai sama ada tenaga solar, turbin angin, turbin air atau potensi penjanaan tenaga mesra alam lain,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Mohd. Nurkhuzaini berkata, Tasik Kenyir dipilih berdasarkan potensinya sebagai kawasan yang boleh diteroka bagi pembangunan inovasi hijau dengan menggabungkan teknologi digital dan sumber tenaga boleh baharu.

Katanya, perbincangan bersama GICON berlangsung secara positif dan konstruktif, manakala kerajaan negeri kini menunggu cadangan lengkap daripada syarikat berkenaan sebelum langkah seterusnya dipertimbangkan.

“Pada masa sama, kita akan menjalankan proses due diligence serta kajian terperinci terhadap syarikat ini bagi memastikan segala perancangan dapat direalisasikan dengan berkesan.

“Kerajaan negeri mahu memastikan setiap projek yang dilaksanakan bukan sahaja berdaya maju dari sudut teknologi dan pelaburan, malah mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan industri teknologi hijau di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu selari dengan usaha kerajaan negeri meneroka sumber ekonomi baharu berasaskan teknologi, selain memperkukuh kedudukan Terengganu dalam sektor ekonomi digital dan tenaga hijau.

Menurutnya, sekiranya projek PoC itu menunjukkan hasil positif, ia berpotensi menjadi asas kepada pembangunan ekosistem pusat data hijau yang lebih luas di negeri ini pada masa hadapan.


Tag :

Artikel Berkaitan