'Negaraku' Bergema Di Puncak Bukit Apu Terengganu

Semai semangat kemerdekaan di Puncak Bukit Apu.
Oleh : Ariss Alias

SETIU, 24 Ogos – Lagu Negaraku bergema di Puncak Bukit Apu, Kampung Rahmat bersempena Program ‘Terengganu Merdeka Hike : Jom Rukah Bukit Apu’ di sini hari ini.

Seramai 73 orang terdiri daripada kanak-kanak seawal usia dua tahun hingga warga emas berusia 67 tahun menyanyikan lagu kebangsaan secara serentak yang diiringi dengan upacara menaikkan bendera Malaysia.

Usai menaikkan bendera, laungan keramat ‘Merdeka’ dilaungkan sebanyak tujuh kali dengan penuh semangat di puncak bukit yang berketinggian 200 meter dari paras laut (mdpl) itu.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof berkata program berkenaan diadakan bertujuan untuk membina semangat cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat di DUN tersebut.

“Sempena bulan kemerdekaan ini, aktiviti ini saya simbolikkan kepada pengorbanan pejuang-pejuang dalam mencapai kemerdekaan.

“Mereka yang ingin mencapai hasrat dan impian, tidak boleh berpeluk tubuh bahkan memerlukan semangat dan juga kerja keras,” ujarnya ketika ditemui media selepas program itu.

Tambah beliau, aktiviti berkenaan juga adalah bertujuan untuk memperkenalkan destinasi tersebut sebagai tempat aktiviti pendakian kepada masyarakat di sana.

“Saya turut merancang ingin mempopularkan bukit ini sebagai destinasi riadah kepada penduduk daerah ini.

“Bukit ini sesuai untuk pendakian keluarga oleh kerana arasnya yang tidak terlalu tinggi dan mudah untuk didaki, bila sampai ke puncak, kita boleh melihat pemandangan laut sekiranya cuaca baik.

Salah seorang peserta, Hasnyta Hamid berkata beliau teruja dengan penganjuran program seperti ini.

“Saya harapkan program seperti ini dapat dianjurkan lagi, seronok menjalankan aktiviti bersama keluarga dan masyarakat di kampung ini,” katanya.


Tag: