• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

Nilai Pokok Untuk Manfaat Pelbagai Pihak- Ahmad Razif

Kerajaan negeri bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) bagi menilai kesemua pokok di sekitar jalan utama dan kawasan rekreasi supaya tindakan yang bakal diambil memberi manfaat kepada semua pihak.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penilaian itu dibuat bagi mengambil kira keselamatan orang awam dan faedah pokok yang ditanam itu kepada persekitaran.


"Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan FRIM akan berkerjasama untuk membuat penilaian terhadap kesemua pokok yang berisiko kerana kita tidak boleh mengambil tindakan drastik dengan terus menebang.

"Beberapa orang pegawai daripada FRIM juga telah datang ke sini (Terengganu) untuk membuat penilaian dan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Ini kerana, kita perlu faham bahawa ada sesetengah pokok yang memberi manfaat kepada persekitaran termasuk membekalkan oksigen dan sebagainya.


"Bagaimanapun, buat masa ini PBT sedang giat mencantas dan membersihkan pokok-pokok di jalan utama supaya keselamatan awam lebih terjamin, selain menceriakan kawasan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Kacau Sura Perdana Daerah Kuala Nerus di perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, hari ini

Menurut Ahmad Razif, sekiranya pokok-pokok yang dinilai memberi risiko tinggi kepada orang awam ia akan ditebang secara berperingkat, manakala bagi yang kurang berisiko ia akan dirapikan dengan mencantas dahan yang tidak diperlukan.

Sementara itu, sebanyak 117 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan memasak bubur asyura yang bertemakan cara lama dimensi baharu itu.

Penyertaan itu terdiri daripada jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (J3K) dan agensi kerajaan yang lain.

Tag: