Nyawa Sendiri Jadi Taruhan


Tugas dan peranan anggota bomba seringkali ditagih dikala kecemasan dan melaksanakan misi bantuan keselamatan.

Mereka merupakan hero di dalam diam juga wira tidak didendang jasanya dan antara individu yang berkhidmat 24 jam tanpa henti setiap kali bencana menimpa termasuk musim perayaan.

Penolong Penguasa Bomba dan Ketua Balai Bomba Kuala Berang, Mohd Zamri Omar, berkata nyawa anggota bomba yang tiada galang gantinya sering menjadi taruhan demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

"Bagi kami anggota bomba...tiada istilah cuti raya mahupun masa untuk dihabiskan bersama keluarga pada hari yang mulia termasuk Aidiladha kali ini memandangkan ada insan lain yang lebih memerlukan khidmat kami.

"Hampir semua anggota bomba khususnya yang bertugas di bahagian operasi dibekukan cuti mereka untuk tujuan tersebut,"kata Zamri ketika ditemui Teganukita di Hulu Terengganu, hari ini.

Katanya, pembekuan cuti itu berkuatkuasa selama 15 hari iaitu seminggu sebelum sehingga seminggu selepas sambutan perayaan bagi memastikan setiap operasi berjalan lancar.

Menurutnya, ketika ini, terdapat 45 anggota di Balai Bomba Kuala Berang yang akan menjalankan tugas secara bergilir-gilir melibatkan 10 orang pada setiap masa  sepanjang musim perayaan ini.

"Ini secara tidak langsung membolehkan pihak bomba mengekalkan kekuatan yang sama seperti sebelum sambutan hari raya,"katanya lagi.

Tambah Zamri, tugas menyelamat bukanlah sesuatu yang mudah malah satu tanggungjawab berat dan ia bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana setiap misi ada tatasusilanya, penilaian, serta tindakannya.

“Risiko yang kami hadapi adalah tinggi setiap kali melakukan operasi menyelamat dan jika tersilap tatacara perlaksanaan kemungkinan nyawa kami yang terancam."ujarnya dengan penuh semangat.

“Ramai dalam kalangan rakan-rakan sepasukan, anak buah malah teman rapat pernah tercedera sewaktu melaksanakan tugas menyelamat. Meskipun jarang terpapar di dalam media, mereka inilah hero di dalam diam yang patut dicontohi,” 

Sementara itu, Pegawai Kanan II Balai Bomba Kuala Berang, Mohd Noor Ali, pula berkata hampir dua tahun dia terpaksa menghampakan hasrat isteri dan enam anaknya untuk pulang beraya di Kuala Lumpur bersama keluarga tercinta.

"Demi tugas saya berkorban dan rasa bersyukur kerana mendapat isteri dan keluarga yang cukup memahami, malah membantu beri semangat untuk saya bertugas walaupun memang tidak dinafikan rasa sedih tu ada terutama bila mendengar takbir,"ujar Mohd Noor.

Jelasnya, anggota bomba yang komited terhadap bebanan tugas masing-masing perlu bersedia untuk berkhidmat pada bila-bila masa sahaja yang diperlukan dan melupakan apa jua perasaan di hati.

Katanya, soal cuti atau tidak pada hari raya bukan masalah buat seorang anggota bomba dan juga anggota keselamatan yang lain kerana tugas yang utama adalah sentiasa bersedia berkhidmat menjaga keselamatan serta keamanan .

"Namun semuanya terubat dengan keprihatinan masyarakat sekeliling termasuklah wakil-wakil rakyat yang sentiasa mengambil cakna dengan menghantar juadah raya setiap kali tiba musim perayaan,"kata Mohd Noor lagi.

Oleh : Mastura Jamaldin


Tag: