Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 7 Februari - Syed Ezhan Syed Hussin, 24 yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana lemah dalam pembelajaran teruja untuk mendapatkan Lesen Memandu Terengganu Sejahtera (LMTS).

Tuan Liana Syed Husin, 39, berkata, LMTS sangat membantu golongan seperti adiknya untuk menikmati dan merasai manfaat dari kerajaan negeri.

"Kerana adik saya ini (Syed Izhan) mana mampu untuk biayai yuran lesen memandu kerana tiada pendapatan. Dia (Syed Izhan) tiada pekerjaan.

"Namun sering menggunakan motor, untuk ke mana-mana. Kerana itu saya merasakan sangat bertanggungjawab untuk memastikan adik bongsu saya ini mendapat lesen percuma,” katanya.

Tuan Liana berkata demikian kepada pemberita pada Program Kaunter Bergerak Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi hari ini.


Menurutnya, program seumpama ini harus diteruskan dan akan dirasai oleh semua golongan serta tiada yang akan dipinggirkan.

Sehubungan itu, Pembantu IT i-MiTS, Hanif Safwan Mansor berkata, OKU seperti Syed Ezhan itu menepati syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

"Kerana sebagaimana yang ditaklimatkan, kecacatan dan kurang upaya ini ada dalam pelbagai keadaan. Jika cacat dari segi fizikal memang tertolak, dalam keadaan adik Ezhan ini, dia mengalami OKU dari sudut kelemahan pembelajaran, fizikalnya sama seperti orang biasa jadi layak untuk menikmati LMTS," ujarnya.

Dalam pada itu, Che Wan Mohd Fikri Che Wan Abdul Mubin berkata, bagi memastikan seluruh penduduk tidak tercicir dari merasai manifesto kerajaan negeri itu, satu kaunter bergerak telah turun ke lapangan dan akan masuk ke seluruh kampung di DUN Bukit Besi.

"Hari ini merupakan hari pertama di mana Kuala Jengai telah digabungkan dengan penduduk Rantau Panjang, bertempat di Dewan Sivik Kuala Jengai," ujarnya.



Tag: