MARANG, 2 Januari - Kesalahan jenayah syariah di daerah ini telah mencatatkan pengurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya terutamanya pada malam ambang tahun baharu berikutan operasi pencegahan yang kerap dijalankan.
Ketua Skuad Amar Marang, Nasaruddin Samsudeng berkata, lokasi panas yang menjadi tempat pelaku melempiaskan nafsu memperlihatkan perubahan dan tiada tangkapan dibuat.
Katanya, ia terbukti dalam satu operasi cegahan 'Sifar Maksiat' oleh Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Pegawai Penguatkuasa Syariah, Pejabat Agama Daerah Marang, dan Sukarelawan Syariah ke hotel-hotel, chalet, dan rumah tumpangan.
"Dalam serbuan kali ini, hanya satu pasangan yang bukan berasal dari daerah ini, berusia lingkungan awal 20-an dicekup di sebuah hotel kira-kira jam awal 3.00 pagi.
"Pasangan tersebut akan didakwa di bawah kesalahan seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 sekiranya sabit kesalahan," katanya selepas operasi.
Menurutnya lagi, pada tahun ini Skuad Amar dan agensi terbabit akan terus memberi didikan dan kesedaran berkaitan syariat agama kepada masyarakat sekeliling.
"Sebelum operasi ini dijalankan, kita telah membuat hebahan awal dan sebaran berkenaan pencegahan aktiviti maksiat serta akan melakukan operasi secara besar-besaran.
"Satu 'banner berkenaan operasi mencegah maksiat juga telah dipasang di empat buah lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Alur Limbat dan Bukit Payong.
"Ini adalah bagi mencegah daripada perkara tidak bermoral berlaku malah membuatkan mereka merasa gerun untuk melakukan kesalahan," tambahnya.
Operasi yang bermula seawal jam 12.00 tengah malam berakhir sekitar jam 4.00 pagi disertai oleh lebih 60 orang yang terdiri daripada Ahli Skuad Amar, Sukarelawan Syariah dan Pegawai Penguatkuasa Syariah, Pejabat Agama Daerah Marang.