Orang Buta Tunjuk Bakat Memasak

KUALA NERUS, 16 Disember- Ditakdirkan mengalami cacat penglihatan selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, bukan alasan bagi  Sharifah Shariza Said Salleh, 41 untuk  bergantung harap kepada belas ihsan suami.

Shariza yang juga suri rumah sepenuh masa, berkahwin dengan lelaki normal Sharul Shahid  Mohd Sharif, 38 pada 2008, mampu menguruskan rumah tangga tanpa bantuan sesiapa termasuk memasak setiap hari.

Keupayaan tersebut mendorong ibu kepada empat cahaya mata berusia 4 sehingga 13 tahun itu menyertai Pertandingan Pencarian Blind Chef sempena Sambutan Hari OKU di Pusat Khidmat Masyarakat  DUN Seberang Takir, hari ini.

Pertandingan anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu itu disertai 13 peserta terdiri enam OKU buta dan tujuh OKU rabun di mana setiap peserta perlu menyediakan menu masakan berasaskan ayam.

Ada di antara mereka mempamerkan kebolehan memasak, kari ayam, sup ayam, singgang ayam, masak lemak cili padi, paprik ayam dan ayam goreng merah.

Shariza yang juga bekas pelajar Diploma Syariah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) berkata, cabaran memasak tidak mendatangkan masalah baginya kerana sudah menjadi rutin harian malah dia juga pandai menjahit pakaian.

“Dalam pertandingan itu, saya pamerkan kebolehan ayam masak santan berlado. Walaupun tidak memenangi sebarang nombor, saya tetap bangga kerana mampu bersama-sama rakan senasib menyertai pertandingan itu.

“Saya berharap apa yang dilaksanakan penganjur dapat dicontohi dan diteruskan pada masa akan datang, jika boleh anjurkan pelbagai pertandingan lain, termasuk menjahit,” katanya yang sebelum ini pernah  menjawat jawatan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Sementara itu, Pengerusi PERTIS, Mohd Fauzi Mansor, berkata pertandingan yang julung kali dianjurkan itu pasti dapat membuka mata masyarakat bahawa golongan OKU boleh melakukan semua perkara.

Katanya, jika bijak guna peluang dan serap ilmu yang ada, tidak mustahil golongan itu boleh berada setaraf dengan mereka yang berjaya.

“Pendekatan itu antara langkah awal untuk mengetengahkan bakat, menghindarkan perasaan rendah diri, mengurangkan sifat malu golongan ini ketika berdepan dengan orang ramai dan berani berdepan cabaran,”katanya.

 


Tag: