'Orang Lain Yang Kena TCO Bebas, Saya Tidak'

KUALA TERENGGANU, 14 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan TCO yang dikenakan kepada beliau jauh berbeza dengan kawalan pada pihak lain termasuk tidak diberi kebebasan tertentu.

Naib Presiden PAS itu menegaskan, beliau baru mengetahui mengenai status TCO itu ketika ditahan di Lapangan Terbang Antabangsa Kota Kinabalu, Sabah pada 6 dan 7 April lalu.

"Pendedahan ini bukan sebab Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, saya hanya dimaklumkan ketika ditahan pada hari berkenaan..sejak bila ni saya kena TCO ni..2024...Ooo begitu jadi oleh kerana keluar masuk saya sebelum ni di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tak nampak la saya ditahan itu...sebab saya ikut laluan VIP, yang ini saya ikut laluan biasa sebagaimana rakyat yang lain ..baru lah saya tahu saya kena TCO.

"Adakah orang-orang lain yang kena TCO pun berdepan benda yang sama...tidak..mereka bebas je tak ada masalah pun," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau tidak dapat menerima 'penahanan' tersebut kerana kemasukannya ke negeri Sabah adalah atas urusan peribadi.

"Saya ditahan di depan orang ramai yang saya rasa saya tidak boleh terima kerana saya hendak ke Sabah sahaja pun dalam negara kita sendiri, bukan ke Amerika atau Filipina atau mana-mana negara berisiko yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri memberitahu, beliau akan ke luar negara selepas ini untuk mengesahkan sama ada masih berada dalam status TCO atau tidak.

"Saya akan 'test' dulu mungkin saya akan pergi ke Singapura..pagi saya pergi tengok kena TCO ke tidak lepas tu tengah hari, petang pergi pula, kalau setiap kali saya keluar masuk tu dilapor ke 'Special Branch' bermakna ada lagi TCO," ujarnya.