Otai Belia Digesa Tubuh Persatuan Baharu

Ahmad Razif menyampaikan cenderahati kepada peserta di Program Ramah Mesra Otai Belia Bersama YAB Menteri Besar di Verandah Restoran, Duyong & Marina Pulau Duyong, Kuala Nerus. Foto oleh Tengku  Syamim Tengku Ismail

Bekas-bekas pemimpin dan ahli belia di Terengganu disarankan bergabung bagi membentuk satu persatuan baharu sebagai platform khusus bagi melaksanakan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dan membantu Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerajaan masa kini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman menggesa bekas belia yang turut menggelarkan kumpulan mereka sebagai otai belia supaya menggunakan kemahiran dan pengalaman bagi membawa rakan yang lain supaya menyokong agenda dan kepimpinan negeri di bawah Kerajaan BN.

“Saya melihat otai belia ini perlu mempunyai platform khas yang dapat menghimpunkan mereka selaku bekas-bekas pemimpin dan ahli belia supaya dapat meneruskan bakti. Apa yang paling mustahak adalah `engagement’ di kalangan ahli itu sendiri dan mungkin mereka boleh menjalankan aktiviti kemasyarakatan di mana-mana kawasan yang memerlukan, melawat rakan-rakan yang sakit dan sebagainya.

“Tidak mustahil gabungan mereka yang berpengalaman ini dapat menjadikan mereka sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang kuat dan memberi manfaat secara tidak langsung kepada ahli dan masyarakat di negeri ini khasnya,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Ramah Mesra Otai Belia Bersama YAB Menteri Besar di Verandah Restoran, Duyong & Marina Pulau Duyong, Kuala Nerus, semalam.



Turut hadir, bekas-bekas pemimpin belia sejak era 80-an termasuk Dato’ Hashim Mamat, Dato’ Abdul Rahman Bakar, Dato’ Zubir Embong, Dato’ Sheikh Harun Sheikh Ismail dan Othman Endut, selaku penyelaras program.

Hadir sama, Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Terengganu, Rosdi Mohd Zain dan Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu, Amirullah Othman.

Ahmad Razif juga mahu pertubuhan belia hari ini supaya menteladani budaya kerja bekas belia terdahulu apabila mereka menjalankan kerja sosial dan kebajikan tanpa mengharapkan balasan wang ringgit melainkan mahu berbakti kepada masyarakat serta seronok dengan aktiviti itu semata-mata.

“Sejarah belia dahulu, jika buat `banner’pun tulis sendiri menggunakan cat dan kalau ada jamuan masak sendiri, berikutan semangat berpesatuan dan kekangan sumber kewangan pada masa itu. Dahulu kita serba kekurangan, membuat surat dan kertas kerja pun menggunakan mesin taip. 

"Semuanya menggunakan kekuatan dalaman dan tidak mengharapkan bantuan dari luar. Malah, dahulu juga belia berupaya membuat kertas kerja bagi mendapatkan aset termasuk membina wisma sendiri. Dahulu juga pertubuhan Belia  4B dan MAYC saling bersaing secara sihat untuk memastikan ada pemimpin masing-masing mendapat pengiktirafan di peringkat Pusat,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, belia menjadi satu medan yang memiliki asas kekuatan bagi melahirkan golongan belia sebagai aset utama kepada jentera kerajaan memperjuangkan agenda kerajaan.



Tag: