Paragon Cinema, Pawagam Patuh Syariah Ketiga Dibuka
KUALA TERENGGANU, 30 September- Terengganu terus menjadi satu-satunya negeri yang melaksanakan pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita dalam panggung wayang gambar (pawagam).
Pembukaan outlet Paragon Cinema di KTCC Mall, di sini semalam menjadikan ia sebagai pawagam ketiga di Terengganu selepas LFS Cinema dan TGV Cinema sekali gus turut melaksanakan pematuhan syariah melalui pengasingan tempat duduk.
Pawagam ini menempatkan 10 buah dewan tayangan dengan muatan sehingga 232 kerusi bagi kapasiti satu dewan ATMOS. Paling menarik, ia turut memiliki satu dewan skrin gergasi dengan saiz skrin sebesar 18 meter memuatkan 276 kerusi menjadikan Hall 10 Paragon Cinema Kuala Terengganu ini adalah antara yang terbesar di Pantai Timur dengan jumlah kerusi sebanyak 1516 kerusi.
Selain itu, Paragon Cinema memberi 'wajah' baharu dengan menyediakan kemudahan untuk pelanggan OKU di mana tempat duduk khas disediakan untuk golongan OKU dan ramp khas di setiap dewan tayangan. Ia selaras matlamat pawagam tersebut untuk menyediakan tempat hiburan keluarga secara holistik tanpa mengira status.
Sempena pembukaan semalam, hanya lima dewan dibuka terlebih dahulu untuk tayangan percuma selama seminggu bagi filem-filem terpilih serta berbayar bagi filem-filem terkini.
Walaubagaimanapun, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap perlu dipatuhi di mana setiap pengunjung akan melalui saringan gejala terlebih dahulu di pintu masuk pawagam dan dikehendaki untuk mengimbas QR Code MySejahtera.
Pemakaian penutup hidung dan mulut serta Penjarakan fizikal semasa beratur di kaunter tiket dan ketika menonton wayang juga diwajibkan.