Sungai Dungun Di Pasir Raja |
Oleh : Adli Mohamad.
DUNGUN, 3 November- Sungai Dungun Di Pasir Raja kini berada dalam paras berjaga-jaga ekoran hujan lebat mulai semalam.
Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman, berkata paras air Sungai Pasir Raja menjadi penentu berlakunya bencana banjir termasuk tindakan segera pada kampung-kampung bersebelahan.
"Pada kebiasaanya, apabila berlakunya banjir di Pasir Raja, yang berada pada Mukim Besol menjadi pemula kepada berlakunya banjir pada kampung bersebelahan, Mukim Jengai juga Mukim Jerangau.
"Maka amatlah diharapkan agar komuniti setempat, serta komuniti kampung yang berdekatan yang berada di Mukim Besol, dan Mukim Jerangau segera berpindah, " jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita pada pagi ini, di sini, pada Sabtu, 3 November.
Menurutnya lagi, catatan bacaan Sungai Dungun Pasir Raja, paras normalnya adalah 34.00 meter(m) tinggi dan paras sungai berkenaan menunjukkan bacaan pada 35.57 m lantaran taburan hujan lebat dalam masa singkat.
"Bacaan yang dicatat menghampiri paras jaga-jaga, bacaan paras jaga-jaga bagi Sungai Dungun, di Pasir Raja, catatannya ialah 36.00.
"Jika keadaan berterusan, maka perlulah bagi setiap Pengerusi Majlis Komuniti Kampung memainkan peranan, agar komuniti yang terlibat dengan banjir segera ke Pusat Pemindahan Banjir," ujarnya.
Walau bagaimanapun beliau berharap agar hujan tidak berterusan, selain itu dalam menghadapi banjir yang bakal berlaku beliau berharap agar wujudnya jalinan kerjasama yang baik, agar memudahkan segala urusan dan perkara yang tidak diingini berlaku.