Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Pasar Buku Ganu, Pupuk Budaya Membaca
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Terengganu Development Management (TDM) Berhad menjadi pelopor dalam membudayakan amalan membaca dengan penganjuran Pasar Buku Ganu yang julung kalinya diadakan di Bandaraya Kuala Terengganu ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, program sebegini banyak manfaatnya kepada warga masyarakat dalam memupuk budaya cintakan membaca terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan juga para remaja.
"Indeks kekerapan membaca di India adalah sebanyak 10 jam per minggu berbanding di negara kita yang hanya 3 jam per minggu.
"Oleh kerana itu, program sebegini sangat bermanfaat bagi mengembalikan semula minat serta budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Kanak-kanak sekarang pun sudah ramai yang mula leka dengan permainan atau pun video-video dalam gajet," jelasnya.
Justeru ujar beliau lagi, program ke arah kesedaran seumpama ini dan kepelbagaian acara santai yang bersesuaian seperti pertandingan dan sebagainya amat perlu diadakan demi untuk melahirkan generasi baharu yang tidak lagi terasing dengan budaya membaca.
"Semasa belajar di Jordan dahulu, antara tips untuk kekalkan ilmu yang dipesan oleh guru saya ialah mengajar, menulis dan membaca, di samping amalan membaca al-Quran yang dijadikan rutin harian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Pasar Buku Ganu yang berlangsung di dataran bersebelahan bangunan TDM Berhad, semalam.