Pasar Tani Ajil Mudahkan Penduduk Setempat Dapatkan Barangan Segar, Berkualiti
Pembukaan Pasar Tani Ajil memudahkan penduduk setempat mendapatkan pelbagai barangan basah yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib berkata, pusat urusniaga itu juga menjadi lokasi bagi mempromosikan produk dan menawarkan pelbagai bekalan makanan serta keperluan harian kepada pengguna setempat.
"Saya yakin, pembukaan pasar tani seminggu sekali pada setiap hari Ahad dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari ini akan mendapat sambutan kerana warga Ajil tidak perlu lagi ke tempat lain untuk mendapatkan barangan keperluan harian yang segar dengan harga berpatutan.
"Melalui pasar tani ini juga ia dapat membantu mengembangkan perniagaan usahawan Bumiputera," katanya.
Ghazali berkata demikian ketika meluangkan masa meninjau Pasar Tani Ajil di Perkarangan Masjid Kampung Bukit Perah, Ajil, hari ini.
Katanya lagi, penubuhan pasar tani itu dapat meluaskan pasaran hasil pertanian penduduk, meningkatkan kuasa tawar-menawar dan juga mengurangkan kebergantungan menerusi orang tengah.
Sementara itu, seorang pengunjung, Noridah Abd Rahman,35, Felda Bukit Bading berkata, pusat urusniaga itu memudahkan penduduk setempat membeli keperluan harian yang segar dan bermutu tanpa perlu pergi jauh.
"Sebelum ini agak sukar untuk kami mendapat ikan, sayur dan sebagainya yang segar malah terpaksa pergi ke Bandar Kuala Berang yang agak jauh.
"Bila adanya pasar tani ini, ianya lebih mudah dan dekat , selain terdapat banyak keperluan harian seperti hasil pertanian dan barangan dapur dijual dengan harga berpatutan serta hasil yang segar terus dari ladang,"katanya.