lightning-solid
Berita :
PASTI Marang Persiap Generasi Pelapis Kepimpinan Masa Hadapan
PASTI Marang Persiap Generasi Pelapis Kepimpinan Masa Hadapan
Amirul Mohd
8 jam yang lepas
86

Marang , 24 Ogos – Sistem pendidikan PASTI bukan sahaja memberi penekanan kepada ilmu teori, malah turut membentuk sahsiah, kemahiran dan bakat anak-anak sebagai persediaan melahirkan generasi pelapis kepimpinan pada masa hadapan.

 Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Marang, Mohd Zulkhairi Ngah berkata, penganjuran pelbagai pertandingan seperti nasyid, pidato, kalam jama'i dan sukan merupakan sebahagian daripada proses pendidikan serta tarbiyah yang mampu mencungkil potensi dan bakat terpendam dalam kalangan anak-anak PASTI.

“Ada mak ayah yang terkejut dan tidak menyangka anak mereka mempunyai potensi serta bakat yang tersendiri. Melalui pertandingan seperti ini, kita dapat mencungkil bakat mereka sebagai persiapan untuk generasi kepimpinan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Alam Ria PASTI PAS Kawasan Marang.

Katanya, anak-anak merupakan anugerah besar daripada Allah SWT dan mereka juga adalah generasi yang bakal meneruskan kesinambungan kepimpinan pada masa hadapan.

Menurut beliau, kepimpinan yang ada pada hari ini juga mempunyai tempoh dan akan sampai kepada waktunya untuk digantikan oleh generasi baharu.

“Sudah pasti ada kelangsungan generasi yang akan menyusul selepas ini. Tidak lain dan tidak bukan, anak-anak yang ada di hadapan kita inilah merupakan generasi pelapis yang akan meneruskan kelangsungan kepimpinan pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa pendidikan anak-anak perlu dipersiapkan bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.

Menurut beliau, tanggungjawab sebagai khalifah memerlukan persiapan dan proses pembinaan yang berterusan, termasuk melalui sistem pendidikan yang tersusun.

 "Kesinambungan sistem pendidikan yang melibatkan PASTI, SRITI dan institusi pendidikan Islam di peringkat seterusnya merupakan satu usaha penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi memahami tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Allah SWT," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata usaha pendidikan PASTI juga mempunyai kaitan dengan hasrat pentadbiran kerajaan negeri melalui slogan “Maju, Berkat dan Sejahtera”, khususnya dalam melahirkan generasi yang memahami tanggungjawab kepada agama, masyarakat dan negara.



Tag :

Artikel Berkaitan