Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
PAU 2017 : Peluang Ketengah Promosi Produk Pelancongan
Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama lima hari bermula semalam membuka ruang kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk mempromosi Tasik Kenyir dan produk pelancongan menarik dalam wilayah itu.
Pengurus Pelancongan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, menerusi booth Ketengah yang dibuka di Pavilion Beautiful Terengganu anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, pengunjung boleh mendapatkan maklumat tentang produk pelancongan yang terdapat di wilayah Ketengah seperti Hutan Lipur Chemerong, Bukit Besi Rainforest Endurance Park dan pelbagai lagi.
“Malah, pakej-pakej menarik dan produk tarikan di Tasik Kenyir seperti Taman Orkid, Santuari Kelah, Air Terjun Lasir, Kampung Konservasi Gajah Kenyir dan lain-lain turut di ketengahkan.
“Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau Negeri Melaka, Dato’ Ghazale Muhamad berkesempatan melawat dan bertukar-tukar fikiran mengenai pelancongan negeri ketika berkunjung ke booth Ketengah, pagi ini,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.
Ahmad Fathil berkata, ruang yang diberikan dalam Pavilion Beautiful Terengganu itu bukan sahaja memberi mereka platform untuk lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus berkongsi maklumat aktiviti serta perkhidmatan yang ditawarkan Ketengah dengan lebih berkesan.
“Kita mahu para perwakilan UMNO dan pengunjung yang datang ke PWTC sempena persidangan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 kenal dengan lebih dekat Tasik Kenyir dan produk-produk lain yang ada dalam Wilayah Ketengah.
“Ianya bukan setakat menjadi medan mempromosi produk yang kita miliki tetapi lebih kepada usaha memastikan kunjungan ke Tasik Kenyir sentiasa menjadi pilihan utama pengujung dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Katanya, apa yang menarik, orang ramai turut berpeluang merasai air tongkat ali, kacip fatimah dan mahkota dewa yang dibawa khas dari Pulau Herba, Tasik Kenyir sempena pameran tersebut.