KUALA TERENGGANU, 26 Mac- Pavilion Tourism Terengganu telah dianugerahkan Premier Marine Heritage Destination Award pada penganjuran Diving, Resort and Travel (DRT) SHOW Shanghai 2025 sekali gus mengukuhkan status Terengganu sebagai destinasi selaman unggul di rantau ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, kejayaan penyertaan pertama kali itu membuktikan Terengganu mampu bersaing di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan marin pilihan.
"Kami amat berbangga dengan sambutan luar biasa yang diterima di DRT SHOW Shanghai 2025. Penyertaan ini membuka mata banyak pihak terhadap keunikan dan keindahan marin Terengganu.
“Kami yakin ini akan meningkatkan kedatangan pelancong antarabangsa serta memperkukuh hubungan dengan pemain industri global dan optimis bahawa inisiatif ini akan meningkatkan kehadiran pelancong dan menggalakkan lebih banyak kerjasama industri,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Malah katanya, kehadiran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin secara langsung memberi sokongan moral yang tinggi serta semangat kepada jabatan dan penggiat untuk lebih berusaha mencipta nama Terengganu di peringkat antarabangsa.
DRT SHOW Shanghai 2025 iaitu pameran penyelaman dan pelancongan marin terbesar di Asia Pasifik telah berlangsung dari 21 hingga 23 Mac lalu di Shanghai World Expo Exhibition & Convention Center.
Pada pameran tersebut, Terengganu diwakili tujuh penggiat pelancongan yang terdiri daripada hotel serta operator selaman (Coral Redang, Laguna Redang, Tenggol Coral, Summerbay Resort, Nemo Divers, Che Wan Scuba dan NAADHI (Liveaboard) yang diketuai pengarah JPNT.
Pavilion Terengganu menawarkan keunikan 128 lokasi selaman terbaik di Terengganu, mempromosi Beautiful Terengganu Malaysia, serta pengenalan Sultan Mizan Underwater Photography Award menjad fokus untuk menarik minat pengunjung, termasuk agensi pelancongan China, jurufoto bawah air profesional, serta penyelam antarabangsa.