Jalur Gemilang
Berita :
PAWE Perlu Turun Ke Kampung Dekati Warga Emas Terpinggir
PAWE Perlu Turun Ke Kampung Dekati Warga Emas Terpinggir
Rohayati Ripin
14 jam yang lepas
12

HULU TERENGGANU, 16 Oktober – Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Terengganu digesa memperluas gerak kerja ke peringkat kampung dan komuniti bagi mendekati warga emas yang tinggal bersendirian atau kurang berupaya menyertai aktiviti sosial.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, usaha itu penting bagi memastikan warga emas terus mendapat perhatian, sokongan dan peluang menjalani kehidupan yang aktif serta bermakna.

Menurutnya, PAWE bukan sahaja berperanan menyediakan aktiviti kepada ahli, malah perlu menjadi penghubung kepada warga emas yang masih terasing daripada kegiatan masyarakat.

“Kalau boleh mereka ini turun kepada kampung-kampung dan komuniti untuk menyantuni warga emas yang duduk seorang serta mereka yang tidak boleh melakukan banyak perkara.

“Ajak mereka ke PAWE dan lakukan aktiviti yang bermanfaat serta berfaedah kepada warga emas,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media selepas program Sambutan Hari Warga Emas & Seminar Citra Minda Intergenerasi Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2026 di Dewan Sivik Ajil, Hulu Terengganu.

Mengambil contoh PAWE Kuala Terengganu, beliau berkata pusat berkenaan melaksanakan pelbagai aktiviti merangkumi aspek kesihatan, ekonomi, agama dan pendidikan.

"Sekali gus membuka ruang kepada warga emas untuk terus melibatkan diri dalam kehidupan bermasyarakat," ujarnya.

Katanya, pendekatan seumpama itu perlu diperluas supaya warga emas tidak hanya menjadi penerima bantuan, sebaliknya terus berpeluang menyumbang pengalaman, pengetahuan dan kemahiran kepada generasi seterusnya.

Beliau turut menegaskan bahawa warga emas merupakan golongan yang perlu dihargai dan disantuni, selaras dengan slogan sambutan tahun ini, Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni.

Justeru itu, beliau berharap usaha memperluas jangkauan PAWE ke peringkat komuniti dapat meningkatkan penyertaan warga emas dalam aktiviti yang bersesuaian serta membantu mengurangkan risiko pengasingan sosial dalam kalangan golongan berkenaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan