PBSNT Anjur Liga Semi Pro Terengganu Tahun Depan

KUALA NERUS, 1 Disember - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menganjurkan Liga Bola Sepak Semi Pro Terengganu pada tahun hadapan.

Menurut Timbalan Presiden PBSNT, Marzuki Sulong, penganjuran tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat eksekutif dan mesyuarat pengurusan serta sedang dilaksanakan secara berperingkat oleh jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pertandingan.

"Pada tahun hadapan kita akan melaksanakan satu liga bertaraf semi-profesional dan kita cuba sebagaima yang dilakukan Persatuan Bola Sepak malaysia (FAM) di peringkat kita demi memartabatkan bola sepak Terengganu.

"Tarikh yang dirancang adalah pada bulan Mac, di mana kita mahu kesemua sepuluh ahli gabungan ada kelab sendiri yang akan menjadi hati peminat bola sepak daerah masing masing dengan dua pasukan jemputan sebagai asas pembentukan liga kita," katanya kepada pemberita selepas Kongres Tahunan PBSNT 2021 di Raia Hotel Gong Badak, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung PBSNT, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

Jelasnya, kehadiran persatuan pengadil sebagai ahli gabungan PBSNT akan lebih memantapkan penganjuran liga berkenaan.

"Kita mahu betul betul bertaraf 'semi pro', di mana orang Besut boleh bermain untuk kelab di Kuala Terengganu dan sebagainya.

"Kita juga akan berbincang dengan FAM supaya juara nanti dapat bersaing di Liga M3 anjuran FAM," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan idea pengajuran liga bola sepak pantai bagi menyemarakkan bakat baru dalam sukan tersebut.

"Kami juga terbuka untuk menjadi penganjur dalam kejohanan bola sepak panta di pelbagai peringkat. Kalau rasa perlu ada liga di peringkat negeri, kita akan buat," katanya. 

 


Tag: