PBT Perlu Capai Penarafan 'Smart City Early Adopter' 2025

KUALA TERENGGANU, 22 April - Selaras penyediaan Blueprint Bandar Pintar, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan Pelan Tindakan Bandar Pintar bagi mendapat penarafan 'Smart City Early Adopter' menjelang tahun 2025.

Baginda bertitah, penyediaan Blueprint Bandar Pintar Terengganu sebagai panduan utama kepada semua agensi dan pihak-pihak berkepentingan terutamanya pihak PBT sejajar dengan Agenda perbandaran Baharu (New Urban Agenda) dan Sustainable Developement Goals (SDGs).

"Kerajaan Beta (juga) telah menyediakan peruntukan sebanyak RM78.9 juta kepada PBT untuk membiayai hampir 97 zon kawasan perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal.

"Beta berharap dengan peruntukan ini dapat memastikan kawasan persekitaran di kediaman, komersial, institusi dan tempat awam sentiasa bersih dan diselenggara dengan baik," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan (DUN) Terengganu Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu dalam usaha meningkatkan kualiti kebersihan ke tahap optimum dan meningkatkan standard piawaian kebersihan, bagi menarik kehadiran pelancong, Sultan Mizan bertitah semua PBT perlu mengambil perhatian serius terhadap penjagaan kebersihan dan penyelenggaraan infrastruktur awam.

"Selain itu, dasar serta amalan yang menekankan prinsip mengurangkan, mengguna dan mengitar semula perlu diperluas dalam usaha meminimumkan penjanaan sisa pepejal.

"Beta berharap projek Integrated Island Waste Management di Pulau Redang dan Pulau Perhentian  yang akan beroperasi dapat menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran (circular economy) melalui kemudahan tempat pengumpulan e-sisa, barangan kitaran semula (3R) dan mesin kompos sisa organik," titah baginda.