PDM Pulau Bahagia Bawa Pulang Wang Tunai RM14,000
UMNO Terengganu melakukan persiapan lebih tersusun bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
Persiapan itu termasuk memperkasakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) melalui pertandingan yang bermula 10 hingga 15 Januari di peringkat bahagian, manakala 8 hingga 15 Februari pula di peringkat negeri.
Johan dalam pertandingan peringkat negeri itu dirangkul PDM Pulau Bahagia yang membawa pulang wang tunai RM14,000, diikuti tempat kedua PDM Pelong, Setiu (RM10,000) dan tempat ketiga diraih PDM Seberang Takir Pantai (Kuala Nerus) memperolehi RM6,000.
Mengulas kejayaan PDM Pulau Bahagia, Pegawai Penyelaras DUN Hulu Terengganu, Yusof Awang Hitam, berkata tiada petua istimewa di sebaliknya kemenangan itu melainkan usaha, kerjasama, gandingan kekuatan pelbagai aspek yang dizahirkan lima cawangan di bawah PDM berkenaan.
Katanya, setiap tugasan yang mahu dilaksanakan, terlebih dahulu mengadakan perbincangan untuk menentukan sama ada dipersetujui atau sebaliknya.
“Langkah itu, timbul rasa keseronokan bekerja bukan saja untuk meraih kemenangan dalam pertandingan malah yang lebih penting untuk kejayaan yang lebih besar pada PRU akan datang,” katanya.