Berita :
Sidang DUN Terengganu Jadi Medan Perkukuh Pentadbiran Negeri
Sidang DUN Terengganu Jadi Medan Perkukuh Pentadbiran Negeri
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
82

KUALA TERENGGANU, 17 April – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang akan berlangsung pada Isnin ini dijangka memberi tumpuan utama kepada isu-isu semasa rakyat dan majlis pembukaan rasmi serta titah diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembukaan sidang DUN kali ini amat penting kerana akan disusuli dengan titah diraja yang memperincikan peranan kerajaan negeri serta cabaran semasa yang perlu dihadapi.

Menurut beliau, sesi perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat selepas itu merupakan antara bahagian yang paling dinantikan, khususnya bagi melihat cadangan, teguran dan kritikan terhadap kerajaan negeri.

“Perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat itu merupakan perkara yang kita nanti-nantikan untuk mendengar cadangan-cadangan ataupun sebarang kritikan dan teguran kepada kerajaan negeri bagi memperkukuhkan pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PAS Terengganu di Dataran Shah Bandar, semalam. 

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai bantuan tambahan kepada rakyat, termasuk isu moratorium di bawah Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT).

Katanya, kerajaan negeri ketika ini memberi keutamaan kepada bantuan yang telah diumumkan sebelum ini bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik dan terus memberi manfaat kepada rakyat.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan mengambil kira kemampuan kewangan semasa serta bidang kuasa kerajaan negeri, di samping terus memantau perkembangan dan kesannya kepada rakyat dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, (kita umumkan) itu sahaja dahulu. Perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan kita melihat dari semasa ke semasa kesannya kepada rakyat dalam ruang lingkup bidang kuasa kerajaan negeri,” jelasnya.

Sementara itu, melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SPMT, semua peminjam skim berkenaan akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman sehingga tempoh 12 bulan bermula Mei 2026.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan