• 18 Sept 2024 | 14 Rabiul Awal 1446

Pelajar Terengganu Bakal Luaskan Pengajian ke Cape Town

​KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu akan menghantar pelajar pada tahun ini melanjutkan pengajian di Cape Town, South Afrika.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan sedia menerokai pusat pengajian baharu bagi pelajar meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita sedang rancang hantar pelajar ke Cape Town, South Afrika, tahun ini ada dua pelajar bidang perubatan akan ke Universiti Cape Town, empat pelajar Pengajian Islam ke Peace Universiti.

“Pelajar akan menuntut dalam buku teks bahasa arab, tetapi pertuturan digunakan adalah bahasa inggeris, pelajar sangat untung dapat kuasai dua bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024 di dewan Auditorium, JHEAT.

Kata Satiful Bahri, kerajaan sedia membuka peluang kepada pelajar daripada institusi persendirian yang berminat, boleh hubungi Yayasan Terengganu, akan tetapi segala perbelanjaan adalah di bawah tangungjawab ibu bapa sendiri.

“Sebelum ini, kerajaan berjaya hantar pelajar menyambung pengajian ke Universiti samada di Tunisia, Qatar, Mesir, Jordan dan Turki, ada antaranya dapat peluang belajar secara percuma tanpa bayaran, ditanggung sepenuhnya oleh pihak Universiti, tapi kuota tersebut agak terhad.

“Pihak kita juga sedia membantu dan buka ruang bagi mana-mana pelajar yang berminat sambung pengajian di Libya, Lubnan, Damsyik dan Yaman, kita ada peluang di sana tetapi segala perbelanjaan adalah ditanggung sendiri,” katanya.

Seperti kebiasaan, pada tahun ini pihak kerajaan masih lagi meneruskan penghantaran pelajar ke Mesir, Turki, Jordan dan sebagainya. ​