Pelancongan Komuniti Tingkat Ekonomi Rakyat
HULU TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan negeri akan mewujudkan lebih banyak Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) di setiap daerah bagi meningkatkan ekonomi rakyat setempat khususnya masyarakat kampung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknolgi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak 40 lokasi CBT sudah dikenalpasti dan akan dibangunkan sepenuhnya dalam beberapa masa lagi.
"Paling minima kita nak wujudkan 10 CBT yang kita sedang buat antaranya di Pengkalan Warisan, Banggol Cempedak, Pengkalan Setar kemudian yang terbaru di kedai Buluh iaitu adanya zoo kampung.
"Di Pulau Redang yang masih dalam proses, sebenarnya banyak lagi yang mana sebahagiannya kita dah kenal pasti tetapi kita belum sempat pergi melawat lagi, insya-Allah semua tempat-tempat ini kita akan umumkan kemudian," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada lawatan ke Kampung Temir bagi aktiviti melihat tuntung bertelur dan aktiviti konservasi, semalam.
Mengulas lanjut Ariffin berkata, bagi memastikan kehadiran pelancong ke negeri ini terus meningkat sebagaimana yang dihasratkan, beberapa usaha turut dilakukan dengan memohon kebenaran agar aktiviti rentas negeri dilonggarkan.
"Supaya apabila dibenarkan aktiviti rentas negeri membolehkan pelancong luar untuk datang ke tempat-tempat menarik di Terengganu ini. Memang itulah yang menjadi harapan kami," ujarnya.